News_archive

Harga minyak global dijangka naik – Najib

By Monday June 8th, 2009 No Comments

KUALA LUMPUR 8 Jun – Datuk Seri Najib Tun Razak menjangkakan harga minyak di pasaran dunia akan kembali meningkat sejajar pemulihan ekonomi global yang sedang berlaku sekarang.

Perdana Menteri berkata, namun kenaikan itu diramalkan tidak berlaku secara mendadak seperti pernah dicatatkan pada tahun 2007 dan separuh pertama 2008.

Kata beliau, permintaan bagi mendapatkan minyak hari ini dilihat akan berkembang pada kadar sederhana untuk tempoh lima tahun akan datang berbanding unjuran pada sembilan hingga 12 bulan yang lalu.

“Pembangunan kos rizab yang lebih tinggi untuk memenuhi permintaan yang kian meningkat tidak dapat dielakkan walaupun permintaan yang relevan akan muncul kemudiannya dan mungkin secara perlahan-lahan daripada yang dijangka sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama sempena majlis perasmian Persidangan Minyak dan Gas Asia ke-14 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.

Hadir sama Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Petronas, Tan Sri Mohd. Hassan Marican.

Menurut Perdana Menteri, pertumbuhan global dijangka turut tidak mengalami pemulihan dalam tempoh terdekat seperti mana yang dicapai secara begitu pantas pada tahun-tahun sebelumnya.

Kata beliau, ini kerana krisis kewangan global yang sedang dihadapi kini akan memberi kesan yang panjang ke atas aliran kredit dan modal.

“Justeru tinjauan jangka sederhana semakin menurun selain tekanan jangka masa segera berbanding dengan kitaran perniagaan global,” jelasnya.

Sementara itu, Najib berkata, penggunaan tenaga utama global dijangka berkembang pada kadar 1.6 peratus setahun, yang akan menyebabkan kenaikan penggunaan 45 peratus antara sekarang dan tahun 2030.

Kata beliau, sejajar dengan jangkaan kepada perubahan kuasa ekonomi ke timur, fokus permintaan global dilihat akan beralih ke negara membangun terutama China.

“Sektor pengangkutan dan komersial akan mencatatkan kenaikan tertinggi manakala penggunaan perindustrian dan kediaman dijangka meningkat pada tahap lebih perlahan,” ujarnya.

Sehubungan itu, Najib berkata, dunia perlu membentuk strategi tenaga yang pelbagai dengan menghasilkan tenaga daripada apa saja sumber yang ada bagi memenuhi permintaan global bagi jangka masa panjang.

Katanya, walaupun bahan api fosil akan terus menjadi sumber dominan bagi tempoh yang lama namun tenaga daripada sumber boleh diperbaharui seperti angin, air, cahaya suria dan bahan api bio perlu digandakan.

“Walaupun tetap memenuhi kira-kira 5.9 peratus jumlah keperluan tenaga pada tahun 2030, namun usaha memenuhi keperluan penduduk global yang kian meningkat sebenarnya memerlukan lebih daripada strategi yang ada.

“Justeru untuk menyokong strategi ini, penyelidikan, pembangunan dan penggunaanya hendaklah digiatkan supaya industri ini dapat berkembang,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply