News_archive

Hampir RM7 bilion diagihkan

By Sunday June 14th, 2009 No Comments

KUALA LUMPUR 15 Jun – Sebanyak 99 peratus atau RM6.95 bilion daripada peruntukan Pakej Rangsangan Satu berjumlah RM7 bilion telah diagihkan bagi memastikan pertumbuhan ekonomi negara kembali cergas dan beransur pulih kesan daripada kegawatan ekonomi dunia.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, daripada jumlah itu RM4.02 bilion atau 57.9 peratus yang melibatkan 43,681 projek telah ditawarkan kepada kontraktor-kontraktor yang berjaya manakala bakinya sedang dalam proses untuk ditawarkan.

Menurut beliau, sehingga 5 Jun lalu, sebanyak RM1.4 bilion dibelanjakan untuk menyiapkan 10,979 projek yang turut melibatkan projek-projek kecil seperti menaik taraf dan baik pulih jalan luar bandar, jambatan, sekolah dan hospital membabitkan perbelanjaan sebanyak RM500 juta.

“Di samping itu, program penyelenggaraan infrastruktur awam (PIA) dan projek infrastruktur asas (PIAS) bernilai RM592 juta siap dilaksanakan.

“Projek rumah mesra rakyat yang melibatkan perbelanjaan RM200 juta bagi membina 2,664 unit rumah dilaksanakan dengan segera.

”Ia memberi kesan positif kepada aktiviti sektor pembinaan pada suku pertama 2009 yang mencatat pertumbuhan 0.6 peratus,” katanya ketika menjawab soalan Datuk Seri Tengku Azlan Sultan Abu Bakar (BN – Jerantut) pada sidang Dewan Rakyat hari ini.

Tambah Perdana Menteri, bagi Pakej Rangsangan Ekonomi Kedua pula, sejumlah 7,811 projek bernilai RM4.2 bilion telah diberikan sehingga 5 Jun lalu iaitu RM1.2 bilion dibelanja untuk menyiapkan 453 projek.

Katanya, ia turut melibatkan program PIA dan PIAS bernilai RM173 juta bagi 2,686 projek di Sabah dan Sarawak yang secara langsung membantu meningkatkan aktiviti ekonomi dan kualiti hidup rakyat luar bandar di kedua-dua negeri berkenaan.

Jelas Najib, bagi merangsangkan lagi kedua-dua pakej itu, kerajaan telah menambah peruntukan RM674 juta sebagai subsidi untuk mengelak kenaikan harga bahan makanan harian seperti gula, roti dan tepung.

“Langkah ini membantu mengurangkan kadar inflasi kepada 3 peratus pada April 2009 berbanding 8.5 peratus pada Julai dan Ogos tahun lalu,” katanya.

Untuk menambah pendapatan rakyat, katanya, kerajaan menerbitkan Bon Simpanan Kerajaan berasaskan syariah berjumlah RM5 bilion dan mendapat sambutan yang amat baik sehingga habis dilanggan.

Beliau berkata, kerajaan memperuntukkan sebanyak RM250 juta setahun untuk diagihkan sebagai dividen kepada pemegang bon berkenaan.

Sementara itu, Najib berkata, kebajikan pekerja yang diberhentikan dan siswazah menganggur juga diberikan perhatian serius oleh kerajaan dengan penyediaan peruntukan RM460 juta bagi penyediaan peluang latihan kemahiran dan teknikal kepada golongan sasar berkenaan.

“Ia termasuk pemberian elaun antara RM500 dan RM1,800 sebulan dan sehingga bulan ini, seramai 3,200 orang pelatih sedang mengikuti program latihan yang disediakan dengan dijangka seramai 12,000 pelatih akan menyertainya pada pertengahan 2010.

“Program melanjutkan pelajaran peringkat sarjana dan doktor falsafah juga mendapat sambutan menggalakkan dengan kesemua peruntukan RM200 juta telah habis diagihkan.

“Selain itu, sebanyak 4,869 kekosongan jawatan di pelbagai agensi kerajaan telah diisi dan dijangka menjelang 2010 sebanyak 63,000 jawatan lagi akan dapat diisi,” katanya.

Tambah Perdana Menteri, trend bilangan pemberhentian pekerja juga mulai reda dengan bilangannya berkurangan daripada 7,665 pada Disember tahun lalu kepada 3,085 pada Mei lalu.

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply