News_archive

Hadiah berharga buat PM baru : Taib

By Wednesday April 8th, 2009 No Comments

KUCHING: Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Abdul Taib Mahmud, menyifatkan kemenangan calon Barisan Nasional (BN), Malcom Mussen Lamoh, pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Batang Air, sebagai hadiah paling berharga BN Sarawak kepada Datuk Seri Najib Razak. Ia katanya, adalah hadiah rakyat Sarawak kepada Perdana Menteri yang baru itu sebagai tanda keyakinan mereka terhadap slogan ‘Satu Malaysia’ yang dibawa oleh Najib.

“Ia juga bukti sokongan dan perpaduan erat dalam BN, yang mana bukan saja parti komponen BN Sarawak, malah pemimpin dari Semenanjung dan Sabah pun turut menemui pengundi di DUN Batang Air sepanjang kempen. “Pada pilihan raya kecil DUN Batang Air, semua pemimpin tertinggi BN dari Sarawak, Semenanjung dan Sabah turun padang seperti yang diminta oleh Najib sebelum dilantik menjadi Perdana Menteri dua bulan lalu,” katanya pada sidang media di Kuching. Taib yang juga Pengerusi BN Sarawak berkata, kemenangan besar BN itu juga menggambarkan sokongan pengundi di kawasan itu kepada BN semakin meningkat apabila majoriti calon BN meningkat kepada 1,854 undi berbanding 806 undi pada 2006. “Keputusan yang dibuat penduduk di DUN Batang Air, menggambarkan sentimen sebenar, sokongan padu rakyat Sarawak kepada Najib. “Ini cara penduduk Batang Air menzahirkan sokongan mereka kepada Perdana Menteri kita yang baru,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply