News_archive

GTP Mencetuskan Dimensi Baru Penyampaian Perkhidmatan Dalam Kerajaan

By Monday March 28th, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) — Program Transformasi Kerajaan (GTP) berjaya mencetuskan dimensi baru dari segi penyampaian perkhidmatan dalam kerajaan serta membentuk rangka minda berorientasikan rakyat dalam sektor awam selain melahirkan budaya berprestasi tinggi.

Laporan Tahunan 2010 Program Transformasi Kerajaan (GTP) 2010 terbitan Jabatan Perdana Menteri menyatakan program dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada April 2009 baru memasuki fasa pertama, namun banyak kejayaan pertama dilakar dalam sejarah Malaysia menerusi keenam-enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA).

Berdasarkan Tinjauan Keseluruhan GTP, banyak Petunjuk Prestasi Utama Negara (NKPI) bukan sahaja berjaya dicapai malah melebihi sasaran yang ditetapkan dalam enam NKRA.

NKRA berkenaan ialah pengangkutan awam bandar, mempertingkatkan taraf kehidupan isi rumah berpendapatan rendah, mengurangkan kadar jenayah, membanteras rasuah, mempertingkatkan pencapaian pelajar dalam pendidikan dan memperkasa pembangunan infrastruktur luar bandar.

Menurut laporan itu, dalam merealisasikan ‘siri pencapaian pertama’ yang berbeza dengan inisiatif-inisiatif lain pada masa lepas itu, GTP bergantung pada ‘sasaran yang diperluas’ yang mencabar NKPI di bawah setiap NKRA untuk mendatangkan hasil positif yang dihasratkan.

Laporan Tahunan GTP itu menyatakan bahawa kerajaan menolak kecenderungan untuk menetapkan sasaran yang sederhana dan ‘kurang agresif atau mencabar’, yang akan mensia-siakan matlamat untuk menghasilkan penambahbaikan yang pantas serta penting selain pewujudan budaya berprestasi tinggi dalam Kerajaan.

Kerajaan juga berupaya untuk meninjau dengan teliti perincian setiap NKRA dan NKPI daripada yang terbesar hinggalah yang paling kecil.

“Setiap fasa pelaksanaan, inisiatif taktikal dan pelan tindakan; begitulah juga orang perseorangan mahupun juga lokasi, dapat dikenal pasti, dikesan, serta dipantau.

“Data, statistik dan angka mencerminkan sifat keadaan yang sebenar tanpa sebarang tokok tambah. Pada asasnya, kami mengamalkan kejituan dan kebertanggungjawaban tahap tinggi dalam pelaksanaan GTP,” demikian menurut laporan itu.

Sebagai contoh, di bawah NKRA Infrastruktur Asas Luar Bandar (RBI), kerajaan menetapkan untuk membina 751.91 kilometer jalan di seluruh negara.

“Daripada matlamat yang luas dan umum ini, kami menetapkan sasaran secara menurun kepada bilangan jalan di setiap negeri, daerah, bandar, dan kampung sehinggalah juga nama jalan yang akan dibina,” kata laporan itu.

Menurut laporan itu, setelah setiap jalan disempurnakan pembinaannya oleh kontraktor, pasukan penilai akan melawat lokasi untuk memastikan jalan tersebut telah benar-benar dibina sebagaimana didakwa.

Dalam menambah baik taraf hidup isi rumah yang berpendapatan rendah pula, kerajaan dapat mengenal pasti ketua isi rumah bagi 44,643 keluarga miskin tegar, bilangan ahli keluarga dalam setiap isi rumah dan jumlah bantuan dikeluarkan kepada setiap keluarga daripada program yang tertentu seperti AZAM Niaga dan AZAM Tani.

Sementara itu, pemanfaatan kerajaan terhadap GTP membuahkan usaha yang membanggakan untuk meningkatkan penyampaian prestasinya dengan menggunakan strategi serampang dua mata.

“Dengan GTP memasuki tahunnya yang kedua, kami akan terus memastikan bahawa kami bertanggungjawab terhadap pihak berkepentingan yang sah terhadap langkah ini, iaitu rakyat.

“Oleh itu, kami akan terus beriltizam untuk mengemukakan data dalam bentuk dan sifatnya yang sebenar demi kepentingan ketelusan dan akauntabiliti,” menurut laporan itu.

Dalam pada itu, di bawah GTP, ketandusan bajet tidak dianggap sebagai petanda kejayaan atau kemajuan, sebaliknya menolak set minda yang lazim ‘gunakan atau kehilangannya’ untuk menggalakkan penjimatan berhemat tanpa menggadaikan sasaran.

Menurut laporan itu, dalam proses melaksanakan pelbagai NKRA di bawah GTP, kerajaan mengambil sikap tekun, teliti dan mengekalkan pendirian bahawa dana pembayar cukai mesti dibelanjakan dengan baik di mana pada akhirnya berjaya membuat penjimatan menerusi pelbagai peringkat program.

“Hal ini telahpun berjaya dicapai dalam banyak bidang seperti infrastruktur asas luar bandar (jalan, elektrik, air, dan rumah) yang telah melepasi sasaran dengan penjimatan berhemat,” kata laporan.

Ciri-ciri GTP yang paling menonjol ialah objektif untuk menyampaikan keberhasilan besar yang pantas selaras dengan konsep bersifat menyeluruh iaitu “Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan”.

Sumber : Bernama

Leave a Reply