News_archive

GTP Berjaya Hasil Keputusan Paling Pantas Menerusi Enam NKRA

By Monday March 28th, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, 28 Mac (Bernama) — Program Tranformasi Kerajaan (GTP), yang dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak pada April 2009, terbukti menghasilkan kejayaan yang pantas dan besar yang tidak pernah berlaku sebelum ini, sekali gus memberikan impak yang positif terhadap jutaan rakyat.

Laporan Tahunan GTP 2010 yang dikeluarkan oleh Jabatan Perdana Menteri (JPM) menyatakan tanggapan awal dalam keenam-enam Bidang Keberhasilan Utama Negara (NKRA) membuktikan kerajaan telah mencatat kejayaan yang belum pernah dicapai sebelum ini.

“Ia suatu hasil yang tidak memerlukan penjelasan melalui kata-kata kerana ia dengan sendirinya menjadi bukti yang jelas lagi nyata. Jika anda mengingini hasil yang berbeza atau yang lebih baik, anda mesti melakukan sesuatu dengan cara yang berbeza.

“Jika kita mahu melihat perubahan yang meningkat dengan pesatnya dan bukan sekadar peningkatan biasa maka pelan tindakan yang berani diperlukan,” demikian menurut laporan itu.

Keenam-enam NKRA yang telah mencatat kejayaan ialah seperti berikut:

NKRA MENGURANGKAN JENAYAH

* Jenayah seluruh negara merosot buat kali pertama dalam tempoh empat tahun iaitu menyaksikan jenayah jalanan dan jenayah indeks, masing-masing merosot sebanyak 35 peratus dan 15 peratus, penurunan tertinggi sejak merdeka.

* Sejumlah 2,001 kes jenayah kekerasan tambahan yang tertunggak berjaya diselesaikan pada tahun lepas.

* Kesemua 753 balai polis di seluruh negara telah diberikan ranking buat pertama kalinya berdasarkan prestasi dan perkhidmatan yang diberikan kepada masyarakat awam.

* 14,222 pegawai dan 7,402 kakitangan pejabat sokongan diatur semula kedudukan di jalanan untuk menjalankan tugas rondaan, sementara kakitangan Pasukan Gerak Am (PGA) ditugasi semula dengan sokongan angkatan tentera untuk membanteras jenayah.

NKRA MEMBANTERAS RASUAH

* Pengenalan Penggubalan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 Malaysia menggalakkan pemberi maklumat untuk tampil ke hadapan bagi mengemukakan laporan tindakan salah laku dengan memberikan perlindungan terhadap identiti mereka selain juga kekebalan daripada liabiliti jenayah atau sivil dan perlindungan terhadap sebarang bentuk tindakan memudaratkan yang diambil terhadap mereka.

* Pangkalan data dalam talian MACC “Namakan-dan-Malukan” diwujudkan dan mengandungi nama, gambar, nombor kad pengenalan, serta butir-butir kes pesalah-pesalah yang telah disabitkan dengan salah laku rasuah di mana 284 pesalah telah disenaraikan mengatasi sasaran 84 pesalah pada akhir tahun lepas.

* Laman Sesawang MyProcurement pertama dilancarkan mencerminkan komitmen kerajaan dengan berjaya menyenaraikan lebih 3,500 kontrak Kerajaan dan tender yang diiklankan atau diberikan, tarikh dan nilai kontrak selain juga pemenang tender.

* Peningkatan hampir sekali ganda pada peratusan orang ramai yang berpendapat bahawa usaha Kerajaan memerangi rasuah adalah berkesan daripada hanya 28 peratus pada tahun 2009 kepada 48 peratus pada tahun lepas.

NKRA MEMPERTINGKATKAN PENCAPAIAN PELAJAR

* Sistem ranking komprehensif pertama diperkenalkan bagi menjejaki prestasi setiap sekolah menengah dan rendah untuk memastikan pembangunan sekolah yang berkualiti dalam sistem tersebut.

* Lebih 700,000 kanak-kanak dalam kumpulan umur 4+ dan 5+ tahun mampu memasuki prasekolah dalam tempoh setahun iaitu peningkatan seramai 54,569 kanak-kanak prasekolah sejak tahun 2009.

* Sebanyak 14 sekolah menengah dan enam sekolah rendah mewujudkan senarai Sekolah Berprestasi Tinggi Malaysia yang julung-julung kalinya.

NKRA MEMPERTINGKATKAN TARAF KEHIDUPAN ISI RUMAH BERPENDAPATAN RENDAH

* Pengurangan 44,643 keluarga miskin tegar seluruh negara kepada peratus sifar, dengan bakinya hanya berjumlah 108 (0.2 peratus) pada 31 Disember tahun lepas.

* 2,000 usahawan wanita berjaya dilatih dan pendapatan mereka bertambah daripada purata RM750 sebulan kepada RM3,500 setiap bulan atau lebih (untuk tempoh tiga bulan berturut-turut).

* Buat kali pertama dalam sejarah, 35,095 unit rumah kos rendah telah ditawarkan untuk dijual kepada keluarga yang benar-benar layak dengan harga subsidi, iaitu 75 peratus lebih rendah daripada harga pasaran.

NKRA MEMPERTINGKATKAN INFRASTRUKTUR ASAS LUAR BANDAR

* Sehingga akhir tahun 2010, hasil pantas yang berikut berjaya dicapai:

– Lebih 35,000 isu rumah tambahan menerima bekalan air bersih.

– Lebih 27,000 isi rumah tambahan menerima bekalan elektrik 24 jam.

– Lebih 16,000 rumah dibina atau dibaik pulih untuk penduduk miskin luar bandar,

– Lebih 750 km jalan-jalan kampung dibina di seluruh negara dengan yang demikian, berjaya mengubah kehidupan dan memberi makna kepada lebih dua juta rakyat Malaysia.

NKRA MEMPERTINGKATKAN PENGANGKUTAN AWAM

* Terminal Pengangkutan Bersepadu (ITT) dibuka pada Januari tahun ini dengan kesalinghubungan dengan Express Rail Link (ERL) Transit, Keretapi Tanah Melayu (KTM) Komuter, rangkaian Sistem Transit Aliran Ringan (LRT) di Bandar Tasik Selatan dapat mengurangkan kesesakan dengan melencongkan lebih 500-600 bas ekspres dari pusat bandar Kuala Lumpur setiap hari.

* Pembaikpulihan hentian bas di Lembah Klang berskala besar yang pertama dilaksanakan bagi memberikan lebih perlindungan dan keselesaan kepada penumpang, dengan menyediakan 634 hentian bas di Ampang Jaya, Shah Alam, Subang Jaya, Selayang, Sepang, Kajang, dan Petaling Jaya.

* Peningkatan lebih 2.43 juta penumpang menggunakan set kereta api empat gerabak baru untuk laluan Kelana Jaya (PUTRA Line) yang menawarkan perjalanan yang lebih selesa, andal, dan mudah membantu menghindarkan masalah kesesakan.

BIDANG KEBERHASILAN UTAMA KEMENTERIAN (MKRA)

* Pewujudan akauntabiliti kementerian melalui sasaran berorientasikan keputusan, iaitu MKRA dan Petunjuk Awalan Prestasi Utama Menteri (MKPI) yang dihasratkan untuk dicapai dan yang perlu dipertanggungjawabkan.

* Menteri-menteri juga diberikan kad skor yang dinilai semula oleh Perdana Menteri dua kali setahun.

Sumber : Bernama

Leave a Reply