News_archive

Gandingan Mahathir, Abdullah, Najib simbol kebangkitan UMNO

By Thursday April 9th, 2009 No Comments

KUALA LUMPUR 29 Mac – Gandingan dua negarawan Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dan Tun Dr. Mahathir Mohamad sebagai penasihat UMNO pada era kepimpinan Datuk Seri Najib Tun Razak kelak akan menjadi simbol kepada kebangkitan semula parti dalam membela masyarakat Melayu. Ahli veteran UMNO, Prof. Datuk Dr. Kamarudin Kachar berkata, nasihat kedua-dua negarawan tersebut akan mengembalikan keyakinan rakyat negara ini terhadap UMNO dan memastikan parti itu terus relevan dalam perjuangan memajukan orang Melayu pada masa depan. “Hal tersinggung atau perbezaan pendapat atas sesuatu isu dan tindakan tertentu adalah perkara biasa di mana-mana sahaja dan perkara seperti ini boleh berlaku kepada sesiapa sahaja. “Apa yang penting sekarang ialah Abdullah dan Dr. Mahathir saling bermaaf-maafan dan melupakan pergeseran sebelum ini kerana masanya sudah tiba untuk kedua-dua tokoh ini mencurahkan pengalaman dan idea demi kemajuan negara,” katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini. Sementara itu, seorang lagi veteran UMNO, Tan Sri Sabaruddin Chik berkata, beliau melihat pertemuan Abdullah dan Dr. Mahathir itu sebagai permulaan yang baik ke arah pelantikan kedua-dua tokoh berkenaan sebagai penasihat UMNO yang sememangnya memerlukan nasihat pemimpin terdahulu. “Namun, adalah lebih baik jika UMNO mempunyai sebuah majlis yang terdiri daripada lebih dua penasihat dan mereka yang menjadi penasihat ini mestilah tidak mempunyai sebarang kepentingan seperti mahu merebut jawatan tertentu,” jelasnya. Seorang lagi veteran UMNO, Tan Sri Zaleha Ismail mengibaratkan kedua-dua negarawan itu sebagai ‘bapa yang menjadi rujukan anak-anak’ apabila berhadapan banyak cabaran.

Sumber : Utusan

Leave a Reply