News_archive

Gagasan Transformasi Najib Bawa Banyak Impak Positif, Kata Shafie

By Saturday May 5th, 2012 No Comments

SEMPORNA, 5 Mei (Bernama) — Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata transformasi yang digagaskan dan dilaksanakan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sudah terbukti membawa banyak impak positif kepada pembangunan ekonomi negara dan rakyat.

“Dalam keadaan ekonomi dunia yang begitu mencabar, negara kita masih mampu merekodkan pertumbuhan ekonomi sebanyak lima peratus pada tahun 2011.

“Pada tahun lalu juga, dalam suasana rakyat di negara maju ramai yang hilang pekerjaan tetapi di Malaysia, kita berjaya menyediakan hampir 100,000 peluang pekerjaan kepada rakyat kita,” katanya.

Mohd Shafie yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata demikian ketika berucap pada majlis penyampaian sumbangan “Ihsan Samudera” oleh Yayasan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Dewan Masyarakat Semporna di sini.

Katanya rakyat yang sebelum ini tiada pekerjaan kini sudah bekerja, rakyat yang tidak menerima bekalan air bersih dan elektrik kini sudah menikmati kemudahan itu dan rakyat luar bandar juga sudah menikmati kemudahan jalan raya, semuanya kesan daripada program transformasi kerajaan.

Sumber : Bernama

Leave a Reply