News_archive

Gagasan 1Malaysia capai tahap tertinggi

By Thursday January 20th, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR 20 Jan. – Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, masyarakat Malaysia telah mencapai tahap tertinggi dalam gagasan 1Malaysia apabila mampu meraikan kepelbagaian budaya di negara ini.

Menurut Perdana Menteri, sifat itu juga harus dijadikan satu kelebihan dan kekuatan untuk mereka menjadikan Malaysia sebuah negara yang lebih maju dan berjaya.

“Jika kita dapat meraikan kepelbagaian, kita mencapai kemuncak dalam soal menerima kepelbagaian sebagai satu sumber kekuatan bagi negara kita,” katanya ketika menyaksikan sambutan Thaipusam di Batu Caves di sini hari ini.

Menurut beliau, sifat toleransi dan ‘penerimaan secara total’ iaitu masyarakat tidak lagi ragu-ragu tentang kepelbagaian budaya kerana ia sesuatu yang baik, merupakan dua asas penting dalam gagasan tersebut.

“Perjuangan berdasarkan perpaduan kaum mampu menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju dan disegani,” ujarnya.

Turut hadir ialah Duta Khas Infrastruktur ke India dan Asia Selatan, Datuk Seri S. Samy Vellu; Presiden MIC, Datuk G. Palanivel; Menteri Sumber Manusia, Datuk Dr. S. Subramaniam serta Pengerusi Jawatankuasa Kuil Sri Maha Mariamman, Datuk R. Nadarajah.

Dalam pada itu, Najib memberi jaminan kerajaan tidak akan mengabaikan kepentingan masyarakat India di negara ini dan berusaha mengatasi cabaran utama yang mereka hadapi.

“Satu Jawatankuasa Kabinet Komuniti India yang dipengerusikan oleh saya sedang mengenal pasti kumpulan sasaran terutamanya mereka yang berpendapatan rendah.

“Selaras dengan kehendak itu, kerajaan telah mengambil pelbagai inisiatif untuk menggerakkan pelaksanaan dasar-dasar kerajaan supaya rakyat keturunan India tidak ketinggalan dalam arus pembangunan.

“Dalam usaha ini, kerajaan mengambil pendekatan untuk membawa perkhidmatan seperti Jabatan Pendaftaran Negara dan Jabatan Kebajikan Masyarakat secara terus kepada masyarakat India yang tinggal di bandar kecil dan luar bandar,” katanya.

Katanya, usaha kerajaan membantu rakyat Malaysia berketurunan India juga mendapat pengiktirafan oleh Perdana Menteri India, Dr. Manmohan Singh yang melawat negara ini pada tahun lalu dan melancarkan Little India di Brickfields.

Najib juga percaya dengan wujudnya Little India di Brickfields, ia akan menjadi simbol penerimaan rakyat Malaysia terhadap kepelbagaian budaya di negara ini.

Pada majlis yang sama, Najib turut menyaksikan majlis perjanjian persefahaman antara pihak pengurusan Kuil Sri Maha Mariamman dengan syarikat pembinaan Damodar and Conveyer Constructions Pty Ltd untuk membina kemudahan kereta kabel sepanjang 250 meter di kuil tersebut.

Jelasnya, pembinaan projek kemudahan infrastruktur bernilai RM10 juta itu yang dijangka dilaksanakan tidak lama lagi dan siap 2012, bakal memudahkan warga emas, orang kurang upaya (OKU) dan para pelancong untuk melawat kawasan ‘Upper Caves’ dengan mudah serta selesa.

“Usaha ini juga bertujuan menambahkan daya tarikan Batu Caves sebagai salah satu destinasi pelancongan utama,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply