Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
FTA Pelaburan Asean-Korea Dimeterai - Najib Razak
News_archive

FTA Pelaburan Asean-Korea Dimeterai

By Monday June 1st, 2009 No Comments

PULAU JEJU (Korea Selatan), 2 Jun (Bernama) — ASEAN dan Korea Selatan memuktamadkan Perjanjian Kerangka Kerja mengenai Kerjasama Ekonomi Komprehensif dengan pemeteraian Perjanjian Pelaburan ASEAN-Korea di Pulau Jeju, pada Selasa.

Pemeteraian perjanjian itu diadakan semasa Sidang Kemuncak Peringatan ASEAN-Korea yang berakhir di sini hari ini.

Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed menandatangani perjanjian itu bagi pihak Malaysia.

Pemeteraian perjanjian di Pusat Konvensyen Antarabangsa Jeju di sini disaksikan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, semua pemimpin ASEAN yang lain dan Presiden Korea Lee Myung Bak.

Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) dalam satu kenyataan di sini hari ini berkata Perjanjian Pelaburan itu melengkapkan Perjanjian Perdagangan Barangan yang ditandatangani pada 26 Ogos, 2006 dan Perjanjian Perdagangan Perkhidmatan pada 21 Nov, 2007.

Ia akan menggalakkan aliran pelaburan dan mewujudkan regim pelaburan yang liberal, fasilitatif, telus dan berdaya saing dalam ASEAN dan Korea melalui:

*liberalisasi regim pelaburan secara progresif;

*pewujudan suasana kondusif untuk para pelabur ASEAN dan Korea serta pelaburan mereka;

*penggalakkan kerjasama atas dasar faedah bersama;

*penggalakkan dan promosi aliran pelaburan dan kerjasama di antara ASEAN dan Korea;

*peningkatan ketelusan bagi peraturan-peraturan pelaburan dan

*pewujudan perlindungan untuk pelaburan.

“Perjanjian ini mengandungi mekanisma kajian semula untuk meningkatkan ketelusan peraturan-peraturan pelaburan dan membincangkan keperluan liberalisasi rejim pelaburan secara progresif bagi ASEAN dan Republik Korea,” katanya.

Perjanjian itu akan berkuatkuasa setelah sekurang-kurangnya satu negara ASEAN dan Korea telah mengesahkan serta memaklumkan sesama pihak perjanjian.

Perjanjian Pelaburan itu akan menarik lebih banyak pelaburan asing langsung (FDI), menggalakkan pelaburan dari Malaysia ke negara luar dan memudahkan integrasi syarikat-syarikat Malaysia ke dalam ekonomi serantau.

Menurut MITI, pelaburan Korea dalam sektor perkilangan di Malaysia adalah sebanyak AS$55.5 juta (RM184.8 juta) pada 2008 dan AS$325.2 juta (RM1.2 bilion) pada 2007.

Pelaburan Malaysia di Korea pula menurut Bank Negara Malaysia adalah berjumlah AS$16.7 juta (RM55.8 juta) pada 2008 berbanding AS$6.9 juta (RM23.7 juta) pada 2007.

Sumber : Bernama

Leave a Reply