News_archive

Formula Kemenangan Pemudah Mencatat Kejayaan Pada Tahun 2011

By Monday February 27th, 2012 No Comments

KUALA LUMPUR, 27 Feb (Bernama) — Formula kejayaan Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (PEMUDAH) telah membuahkan kejayaan besar dalam bidang utama seperti menyegerakan proses melesenkan perniagaan, meliberalisasikan perkhidmatan dan meningkatkan dagangan merentas sempadan.

Yang menjadi keutamaan Pemudah ialah kecekapan dan menjayakan dasar untuk usaha sama sektor awam dan swasta.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam perutusannya berkata kejayaan Malaysia memperbaiki kedudukannya ke tangga 18 daripada tangga ke-23 dalam Laporan Doing Business oleh Bank Dunia, merupakan pencapaian kemuncak Pemudah pada tahun 2011.

Menyedari isu pelesenan perniagaan merupakan punca kerumitan syarikat swasta, Kumpulan Fokus Perekayasaan Perlesenan Perniagaan yang ditubuh menerusi Pemudah telah bekerjasama dengan 23 Kementerian dan Agensi pusat untuk mengkaji semula semua prosedur membabitkan permohanan lesen perniagaan.

Menurut Laporan Tahunan Pemudah 2011, menerusi inisiatif ini, sebanyak 395 daripada 761 lesen telah dikenal pasti untuk dimansuhkan dan dipermudahkan.

Keseluruhan inisiatif ini dijangka membawa kepada anggaran pengurangan berjumlah RM729 juta kos pematuhan lesen perniagaan apabila selesai dilaksanakan sepenuhnya pada bulan Jun tahun ini, kata laporan itu.

Pada tahun ini, antara inisiatif yang akan dilaksanakan olek Kumpulan Fokus ialah memperkemas dan memudahkan proses pelesenan perniagaan dengan menggunakan kaedah perekayasaan proses pelesenan perniagaan (BPR).

Selain itu, menyelaras dan memantau pelaksanaan program pembaharuan di seluruh kementerian dan agensi; dan mengabungkan lesen yang distruktur semula untuk pendaftaran dalam talian ke dalam Sistem Sokongan Elektronik Pelesenan Perniagaan (BLESS), juga akan dilaksanakan, kata Perdana Menteri.

Pemudah yang memberi tumpuan terhadap usaha menyumbang input kepada dasar-dasar yang bertujuan untuk mengembangkan aktiviti ekonomi, telah memaparkan maklumat mengenai Agensi Pengeluar Permit, piagam pelanggan, carta aliran kerja dan pegawai perhubungan untuk Tetingkap Tunggal Negara (NSW) di portal NSW (www.mytradelink.gov.my).

Selain itu, salah satu inisiatif untuk mengurangkan bilangan dokumen import dan eksport ialah menerusi penggabungan invois dan senarai pembungkusan.

“Inisiatif ini mengurangkan masa yang diambil untuk mengeksport dan memudahkan proses melalui kebolehgunaan data.

“Beberapa siri program kesedaran bagi mengalakkan penggunaan dokumen baharu ini masih diteruskan,” kata laporan.

Sementara itu, Pemudah dengan kerjasama sektor awam dan komuniti perniagaan memberi tumpuan terhadap liberalisasi autonomi sektor perkhidmatan, ke arah memperbaiki persekitaran pelaburan dan menyumbang kepada matlamat Model Baru Ekonomi.

Laporan itu menyebut asukan Petugas Khas telah menyediakan senarai keutamaan 17 subsektor untuk liberalisasi ekuiti secara berperingkat, termasuk perkhidmatan seni bina, kejuruteraan, hospital swasta dan perundangan.

Liberalisasi 17 subsektor ini akan dilaksanakan secara berperingkat pada tahun ini dan akan membenarkan pegangan ekuiti asing sehingga 100 peratus dalam subsektor tertentu.

Pasukan Petugas Khas juga telah membantu Majlis Pelancongan Perubatan Malaysia untuk mempertingkat pembangunan pelancongan perubatan di Malaysia dan antara inisiatifnya ialah membangunkan prosedur operasi standard mengariskan prosedur kemasukan warga pesakit ke dalam negara dan menyediakan kemudahan visa ketibaan kepada pesakit warga asing bagi kes-kes kecemasan.

Sumber : Bernama

Leave a Reply