News_archive

FGVH Kenal Pasti Rakan

By Tuesday May 15th, 2012 No Comments

LONDON, 15 Mei (Bernama) — Felda Global Ventures Holdings Bhd (FGVH) telah menandatangani dua perjanjian dengan dua syarikat terkemuka, yang dikatakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak akan membolehkan FGVH muncul sebagai syarikat komoditi terbesar dan disegani di dunia.

Perjanjian pertama mengenai Usahasama Strategik dengan Louis Dreyfus Commodities Asia Pte Ltd (LDCA) manakala yang kedua ialah Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Vitol S.A. bagi bekerjasama mengenai bekalan, dagangan antarabangsa, pemasaran, operasi logistik dan pengurusan risiko mengenai pelbagai komoditi, yang termasuk minyak dan lelemak.

Melalui perjanjian usahasama strategik itu, kedua-dua pihak merundingkan strategi kerjasama yang meluas bagi:

i. cadangan pelaburan asas strategik LDCA di dalam FGVH selepas Tawal Awam Awalnya (IPO); dan

ii. usahasama pemasaran dan aset hiliran yang akan dilaksanakan.

Perjanjian itu akan disatukan dengan kekuatan kedua-dua syarikat – FGVH di dalam pengeluaran dan pemprosesan minyak sawit mentah (MSM) manakala LDCA di dalam dagangan MSM dan produk ditapis dan pengurusan risiko aktiviti berkenaan bagi memaksimumkan nilai yang diwujudkan di sepanjang rantaian bekalan untuk menjadi salah satu pemain minyak sawit bersepadu terbesar di dunia.

Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad dan Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif FGVH Datuk Sabri Ahmad bagi pihak FGVH manakala Louis Dreyfus Commodities diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Serge Schoen.

Sementara itu, di bawah MoU antara FGVH dan Vitol Group, kedua-dua pihak merancang memperbadankan syarikat usahsama di Kuala Lumpur dalam tempoh enam bulan akan datang dengan FGVH memegang saham majoriti.

Kerjasama itu meningkatkan kehadiran yang sudah signifikan Vitol di Malaysia, yang kini fokus pada perniagaan dagangan tenaga dan operasi terminal sedia adanya.

Ahmad Sabri telah mewakili FGVH manakala Vitol Group diwakili Ketua Pegawai Kewangan Jeff Delapina.

Najib telah menyaksikan kedua-dua majlis itu di Suruhanjaya Tinggi Malaysia.

Pada persidangan akhbar di sini, Najib berkata bahawa sebahagian daripada strategi baharu Felda selepas penyenaraian FGVH ialah untuk syarikat itu muncul sebagai sebuah syarikat komoditi yang antara terbesar di dunia dari peringkat perladangan hingga ke peringkat pasaran.

“Seperti yang kita maklum, pasaran di luar negara termasuk Eropah, Timur Tengah dan juga Rusia, memerlukan kita mengabungjalinkan Felda dan FGVH sama seperti syarikat berasaskan komoditi yang mempunyai jaringan dan mengetahui selok belok penyenaraian komoditi.

“Saya yakin dan percaya dengan wujudnya perkongsian strategik ini FGVH boleh muncul sebagai syarikat yang disegani dan antara yang terbesar di dunia,” kata Najib.

FGVH diperbadankan di Malaysia dan dimiliki secara langsung oleh Felda. Ia adalah satu syarikat pertanian dan komoditi pertanian global yang mempunyai operasi di 10 negara dan kini merupakan pengendali ladang kelapa sawit di dunia.

Syarikat itu kini mengendalikan 343,521 hektar ladang kelapa sawit di Malaysia yang mengeluarkan 5.2 juta tan metrik tandan buah segar pada 2011.

Felda Holdings Berhad (FHB), satu syarikat sekutu milik 49 peratus FGVH adalah pengeluar MSM terbesar di dunia dengan 3.3 juta tan metrik yang dikeluarkan pada 2011 dan anak syarikat FGVH, MSM Holdings yang tersenarai di Pasaran Utama Bursa Malaysia, adalah pengeluar gula bertapis utama di Malaysia dengan kapasiti pengeluaran tahunan lebih 1.1 juta tan metrik produk gula.

FHB turut memiliki dan mengendalikan terminal minyak sawit mentah dan minyak sayuran di Malaysia dan Indonesia dengan kapasiti semasa kira-kira 772,050 tan metrik.

Vitol Group diasaskan pada 1966 di Rotterdam, Belanda.

Syarikat itu telah berkembang secara signifikan menjadi peserta dalam pasaran tenaga dunia dan kini menjadi pedagang tenaga dan komoditi.

Portfolio dagangannya termasuk minyak mentah, produk petroleum, bahan api simpanan, LPG, LNG, gas asli, arang batu, kuasa, logam, pengeluaran karbon dan gula.

Melalui dagangannya, Vitol secara sendirinya di dalam bidang perkapalan merupakan pencatar minyak mentah dan penyedia kapal pengangkutan minyak terbesar di dunia.

Vitol berurus niaga lebih 400 juta tan metrik minyak mentah, produk petroleum dan komoditi setiap tahun dan perolehan 2011nya ialah US$297 bilion.

Vitol mempunyai agihan 50 peratus di dalam VTTI, satu perniagaan penyimpanan dan terminal yang mengendalikan 11 terminal di lima benua dengan kapasiti sedia ada kira-kira 6.5 juta meter padu yang termasuk terminal produk minyak berkelas dunia 841,000 meter padu yang disiapkan baru-baru ini di Tanjung Bin, Johor, Malaysia.

VTTI menjangka meningkatkan kapasitinya kepada lebih 8.0 juta meter padu pada 2013.

Sumber : Bernama

Leave a Reply