News_archive

FELDA Rally Team sedia tawan dunia rali

By Friday May 29th, 2009 No Comments

BERMULA dengan idea yang dicetuskan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tiga tahun lalu, maka terbentuk pasukan lumba FELDA Rally Team.

Ketika itu, Perdana Menteri mengutarakan harapan untuk Malaysia menjadi tuan rumah buat julung kalinya Kejohanan Rali Dunia (WRC) dengan sasaran ia diadakan pada 2008.

Rentetan daripada hasrat dan wawasan itu, inisiatif itu disambut oleh IBIL (M) Sdn. Bhd., sebuah syarikat sistem integrasi dalam bidang telekomunikasi berstatus Bumiputera yang diberi mandat menjalankan projek Jalur Lebar Berkelajuan Tinggi (HSBB) untuk Telekom Malaysia Berhad (TM).

IBIL berhajat untuk ‘berjasa kepada masyarakat” dan menyumbang ke arah pembangunan masyarakat Melayu glokal melalui perlaksanaan projek, program serta aktiviti yang berkonsepkan ‘tanggungjawab korporat.’

Lantaran itu, High Speed Rally Team dengan nama pendeknya HSRT ditubuhkan dengan memberi fokus terhadap perlaksanaan dan pengendalian projek berlandaskan sukan.

Langkah pertama ke arah itu adalah dengan membentuk FELDA Rally Team sebagai pembuka mata kepada dunia untuk melihat Malaysia bukan sahaja mempunyai sirkit atau trek rali bertaraf dunia, malah juga berkebolehan untuk mengendalikan pasukan ralinya yang tersendiri.

Pelaksanaan program FELDA Rally Team diatur selari dengan Felda dalam visi mereka ke arah merealisasikan ‘Gagasan Felda Moden’.

Sehubungan itu, Perdana Menteri telah melancarkan Felda Rally Team di Dewan Perdana Felda di Kuala Lumpur, baru-baru ini.

FELDA Rally Team melibatkan diri di dalam Kejohanan Rali Malaysia AAM 2009 (AAM Malaysian Rally Championship 2009) dan dijadualkan untuk bertanding di pusingan kedua hari ini dan esok di Chuping, Perlis, di bawah kategori P12 iaitu 2000cc ke atas.

Pengisian program FELDA Rally Team bukan sahaja mengenai pasukan rali tetapi turut juga menekankan perancangan aktiviti komuniti & sosial dan juga kajian & penyelidikan.

Antara program-program itu ialah:–

a) Pelaksanaan program latihan dan pembelajaran iaitu kolaborasi bersama Kementerian Pengajian Tinggi yang melibatkan Kolej Komuniti, Politeknik dan juga penglibatan Masterskill.

b) Peluang karier – peluang pekerjaan di bawah syarikat rakan-rakan FELDA Rally Team

c) Aktiviti mengeratkan silaturrahim bersama Rakan FELDA Rally Team – taklimat pemanduan berhemah, pembinaan kerjaya, pencarian bakat baru dalam sukan rali, sumbangan peralatan sekolah dan banyak lagi.

d) Program bersama PROTON

i) program perintis dalam mencungkil bakat baru dalam bidang otomotif, mekanikal dan ahli sukan rali kereta.

ii) Penubuhan ‘FELDA Interstate Rally Championship’ – kolaborasi bersama PROTON untuk mengadakan kejohanan rali Felda yang tersendiri.

iii) Rakan Utama dalam pembinaan dan penyediaan kereta rali FELDA Rally Team.

iv) Kolaborasi kajian dan penyelidikan antara PROTON dan FELDA dalam penggunaan kelapa sawit sebagai bahan pembakar.

v) Woksyop rasmi FELDA Rally Team yang berpusat di PROTON

vi) Menuju ke arah menjadi hos serta mengendalikan Kejohanan Rali Asia Pasifik dan Kejohanan Rali Dunia

vii) Usahasama dalam aktiviti pemasaran untuk meletak Felda sebagai peneraju dunia dalam pengeluar minyak kelapa sawit serta sukan, dan kajian dan penyelidikan minyak bio.

e) Liputan/ usahasama bersama stesen TV – menonjolkan kawasan Felda dalam menjalinkan hubungan yang lebih erat bersama komuniti, dan juga turut mempromosikan barangan keluaran Felda.

Pasukan ini akan meletakan harapan di bahu Saladin Mazlan sebagai pemandu dan Arish Qutb Ahmad Khan sebagai pemandu arah.

Sebagai pasukan simpanan, pasukan ini juga turut mengetengahkan bakat Felda sendiri iaitu Rozali Abdullah dan Muhamad Hilmi Zul Hassan sebagai pemandu arahnya.

Pemantapan pasukan diketuai oleh Brian Palmer selaku Ketua Teknikal– satu nama yang tidak asing lagi dalam arena sukan permotoran.

FELDA Rally Team mendapat sokongan padu daripada Felda selaku Prinsipal, PROTON selaku Perunding Teknikal, dan juga daripada mereka yang kami gelar “Rakan Felda Rally Team” – iaitu IBIL, Dhanaz, KRS Technology, Tekad Communications, Sigma Crystal, Aktiviti Berjaya, CWM, Masterskill, RD Resources, Silverstone, Links Power, Permai Spray, Triniti, Auto Foam, Grippen, dan Boxx.

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply