Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
FDI ke Iskandar Malaysia tidak terjejas - Najib - Najib Razak
News_archive

FDI ke Iskandar Malaysia tidak terjejas – Najib

By Thursday May 21st, 2009 No Comments

JOHOR BAHRU 21 Mei – Pelaburan langsung asing (FDI) ke Iskandar Malaysia dijangka tidak terjejas walaupun dunia mengalami kemelesetan ekonomi, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Sebaliknya, Perdana Menteri berkata, kerajaan menjangka berlaku peningkatan aliran masuk FDI ke koridor ekonomi itu yang berpotensi besar dan mempunyai konsep menarik dalam kalangan pelabur.

“Saya tidak menjangka (aliran masuk FDI ke Iskandar Malaysia) akan berkurangan. Saya rasa ia akan mengalir ke kawasan utama pembangunan kerana ia telah menarik banyak minat antarabangsa,” katanya.

Najib yang juga Menteri Kewangan berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan Bangunan Sistem Lingkaran Pendinginan Berpusat di Kota Iskandar di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar, Datuk Abdul Ghani Othman; Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Tan Sri Nor Mohamed Yakcop; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed dan Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Iskandar Malaysia (Irda), Harun Johari.

Najib berkata, pembangunan di koridor ekonomi yang terletak paling ke selatan negara itu tidak mengalami kelembapan, malah ia sedang berjalan mengikut jadual dan menepati matlamat pembangunannya.

“Saya dimaklumkan pembangunannya berjalan lancar dan menepati jadual, malah pada waktu ini Iskandar Malaysia berjaya menarik pelaburan sebanyak RM42.63 bilion,” katanya.

Menurutnya, jumlah tersebut merupakan 90.7 peratus daripada sasaran RM47 bilion menjelang 2010 dengan komitmen pelaburan sebanyak RM21.7 bilion telah dicatatkan.

Menurutnya, pelaburan tersebut membabitkan RM21.7 bilion dalam sektor pengeluaran, hartanah (RM9.05 bilion), kerajaan (RM6.83 bilion), utiliti (RM2.9 bilion), pelancongan (RN0.75 bilion) dan lain-lain (RM1.4 bilion).

Sementara itu, Perdana Menteri mahu setiap rancangan pembangunan mengutamakan kepentingan sosial rakyat dan alam sekitar seperti yang sedang dilaksanakan di Iskandar Malaysia.

Tegasnya, ia adalah sejajar dengan konsep Teknologi Hijau yang memastikan setiap pembangunan tidak menjejaskan alam sekitar dan masyarakat terutama dalam isu kebajikan rakyat.

“Ia adalah pertumbuhan ekonomi yang amat menarik dari segi konsep iaitu pembangunan yang bersifat mesra alam dan di samping itu mewujudkan potensi peluang ekonomi yang lebih luas,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply