News_archive

FDI Ke Iskandar Malaysia Tidak Merosot, Kata PM

By Wednesday May 20th, 2009 No Comments

JOHOR BAHARU, 21 Mei (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan tidak menjangka Pelaburan Langsung Asing (FDI) ke Iskandar Malaysia menerima kesan kemelesetan ekonomi global semasa.

Perdana Menteri, yang juga Menteri Kewangan, berkata kerajaan menjangka peningkatan aliran masuk FDI ke koridor ekonomi yang terletak paling ke selatan Malaysia itu.

“Saya tidak menjangka (aliran masuk FDI ke Iskandar Malaysia akan berkurangan). Saya rasa ia akan mengalir ke kawasan utama pembangunan. Ia telah menarik banyak minat antarabangsa.”

“Pembangunan itu tidak mengalami kelembapan, malah ia sedang menepati matlamat pembangunannya,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Bangunan Penyejukan Daerah Kota Iskandar di sini, Khamis.

Perdana Menteri, yang sedang dalam perjalanan ke Singapura untuk melakukan lawatan rasmi pertama ke republik itu sejak menjawat jawatan tersebut, melakukan lawatan singkat ke Iskandar Malaysia.

Iskandar Malaysia mempunyai keluasan 2,217 km persegi merangkumi beberapa daerah di selatan Johor atau tiga kali ganda keluasan Singapura.

Menurut Perdana Menteri, Iskandar Malaysia merupakan satu bentuk pembangunan yang baik dan mempunyai potensi yang besar untuk muncul sebagai pusat pertumbuhan negara yang baru.

“Saya akan meneruskan pembangunan Iskandar Malaysia yang telah diilhamkan oleh (bekas Perdana Menteri) Tun Abdullah Ahmad Badawi. Iskandar Malaysia akan terus mendapat sokongan kerajaan,” katanya.

Sejak dilancarkan pada akhir 2006, katanya Iskandar Malaysia telah berjaya menarik RM42.6 bilion pelaburan dalam dan luar negara, dengan 30 peratus daripadanya sedang dilaksanakan ketika ini.

Najib berkata, dengan perlaksanaan projek pembinaan infrastruktur yang telah diluluskan oleh kerajaan, Iskandar Malaysia akan menjadi pusat pertumbuhan yang boleh dibanggakan.

Perdana Menteri juga telah ditanya sama ada Iskandar Malaysia akan dimasukkan ke dalam ajenda semasa lawatan rasmi ke Singapura.

“Saya akan memberitahu mereka, saya telah melihat pembangunan Iskandar Malaysia dan ia merupakan satu pembangunan yang bakal memberikan hasil yang baik dan menerujakan bagi Singapura untuk dipertimbangkan, sama ada pada peringkat strategik, yang bermaksud penyertaan mereka pada paras ekuiti, pembangunan,” katanya.

Rakyat Singapura katanya boleh juga menimbangkan untuk membeli rumah dan hartanah lain di Iskandar Malaysia.

Mengenai projek ikon yang akan dilaksanakan secara bersama oleh Malaysia dan Singapura di Iskandar Malaysia, Najib berkata beliau akan membincangkannya dengan rakan sejawatannya, Lee Hsien Loong semasa lawatan ke republik itu.

“Saya akan memberitahu (mengenai projek ikon), selepas berbincang dengan Lee Hsien Loong,” kata Perdana Menteri.

Sebelum itu, sebaik tiba di Kota Iskandar, Najib telah diberi taklimat mengenai kemajuan Iskandar Malaysia oleh Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pembangunan Wilayah Iskandar (IRDA) Harun Johari.

Yang turut hadir ialah Menteri Besar Datuk Abdul Ghani Othman, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamad Yakcop, anggota Exco dan kakitangan awam kanan Johor.

Sumber : Bernama

Leave a Reply