News_archive

Fahami lebih mendalam aspirasi, cita rasa komuniti

By Monday March 30th, 2009 No Comments

 

PETALING JAYA: Datuk Seri Najib Razak berkata, sebagai anggota pentadbiran kerajaan, beliau akan berusaha untuk cuba memahami dengan lebih mendalam aspirasi dan cita rasa semua komuniti di negara ini. 
Timbalan Perdana Menteri yang akan mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, berkata perkara itu penting bagi membolehkan beliau menilai keperluan pelbagai kaum di negara ini.
Najib berkata demikian kepada pemberita selepas lawatan ke kumpulan akhbar Sin Chew Jit Poh, di sini, semalam. Najib sebelum itu meluangkan masa lebih sejam untuk bertukar pendapat dengan pengarang kanan kumpulan akhbar berkenaan. 
Sementara itu, beliau menjelaskan masih belum mempunyai bayangan berhubung barisan Kabinet yang akan menganggotai pentadbirannya selepas mengambil alih jawatan daripada Perdana Menteri tidak lama lagi. 
Najib berkata, tumpuannya kini adalah terhadap perkara lain yang lebih penting manakala sama ada beliau akan melantik atau tidak menteri yang kalah dalam pemilihan Umno minggu lalu belum terlintas di fikirannya.
“Semua pihak perlu menunggu kenyataan rasmi daripada Jabatan Perdana Menteri mengenai tarikh rasmi peralihan kuasa,” katanya ketika ditanya mengenai desas-desus peralihan kuasa akan dilakukan Jumaat ini.
Sementara itu, beliau berkata, kerajaan perlu mempamerkan kesediaannya untuk mewujudkan kerjasama yang erat dengan pelbagai pihak media bagi memastikan keberkesanan dalam sistem pentadbiran negara.
“Sebab itu, saya mengambil kesempatan untuk membina hubungan dengan lebih dekat dan ambil kesempatan untuk menerangkan beberapa perkara, terutama konsep Satu Malaysia yang penting untuk kita hayati bersama.
“Pihak kerajaan dan media perlu terus bekerjasama serta saling memberi keuntungan dan faedah bersama.
“Hari ini saya mengadakan lawatan ke sini (Sin Chew Jit Poh), sebuah akhbar berbahasa Mandarin yang mempunyai jumlah edaran tertinggi dan berpengaruh. Ia sekali gus membolehkan saya menyelami aspirasi kaum Cina dan diikuti kaum lain pula,” katanya.

 

Sumber: Berita Harian

Leave a Reply