News_archive

Elaun Bertugas Sukarelawan Naik RM2 Sejam – Najib

By Friday January 27th, 2012 No Comments

SERDANG, 28 Jan (Bernama) — Kerajaan bersetuju menaikkan elaun bertugas sukarelawan Ikatan Relawan Rakyat (RELA) sebanyak RM2 sejam buat anggota berpangkat pegawai dan lain-lain pangkat.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sebagai sebuah kerajaan yang prihatin dan sentiasa mementingkan kebajikan rakyat, kerajaan sentiasa menjaga kebajikan semua pihak.

“Saya dah bincang dengan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein (Menteri Dalam Negeri), dan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (Tan Sri Mahmood Adam), dan permohonan RELA (untuk naikkan elaun) itu bolehlah diluluskan segera,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa berucap di perhimpunan Perdana RELA bersama Perdana Menteri di Dewan Maeps, Serdang, di sini, yang dihadiri kira-kira 30,000 anggota RELA dari seluruh negara.

Difahamkan elaun bertugas bagi pegawai dan lain-lain pangkat RELA masing-masing ketika ini ialah RM5.80 dan RM4, dan kadar elaun yang baru diumumkan itu akan mula berkuat kuasa tidak lama lagi.

Najib berkata sebagai sebuah organisasi yang mempunyai 2.8 juta anggota, RELA boleh memainkan peranan penting dalam menjayakan agenda transformasi negara.

“Saya tidak terfikir sambutan hari ini disertai begitu ramai, seolah-olah lautan manusia. Saya sememangnya teruja dan kagum dengan bilangan kehadiran yang mencecah 30,000 anggota.

“Tidak ada organisasi yang terbesar seperti RELA yang mempunyai anggota yang begitu ramai di negara ini. Kalau 2.8 juta anggota Rela bersama kita, kerajaan yakin transformasi negara pasti berjaya,” katanya.

Perdana Menteri berkata walaupun tujuan penubuhan RELA pada 11 Jan 1972 adalah untuk menggembleng tenaga rakyat bagi memastikan keselamatan dan keamanan setempat, namun kini peranan pasukan sukarelawan itu diperluaskan kepada membantu usaha membasmi jenayah, menjaga keselamatan dan keamanan negara, bersama pasukan keselamatan awam.

Beliau berkata tenaga RELA, bersama dengan pasukan keselamatan awam yang lain, akan digunakan bagi menghadapi kumpulan demontrasi yang cuba menimbulkan suasana kucar-kacir yang menggugat ketenteraman awam.

Najib berkata beliau juga mahukan imej RELA ditingkatkan lagi dengan penglibatan lebih ramai anggota, tanpa mengira batasan kaum termasuk dari bandar dan luar bandar.

Beliau berkata Akta RELA yang baru sedang dirangka oleh Kementerian Dalam Negeri, dalam usaha memastikan kewujudan dan peranan RELA terus relevan kepada masyarakat dan negara.

Sumber : Bernama

Leave a Reply