News_archive

Ekonomi Malaysia Berteraskan Kreativiti Dan Innovasi

By Monday April 27th, 2009 No Comments

PUTRAJAYA, 28 April (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan merancang untuk melakukan pembaharuan dan perubahan struktural kepada ekonomi Malaysia berasaskan kepada satu model yang baru berteraskan kreativiti dan innovasi sebagai cabaran jangka panjangnya.
 
Perdana Menteri berkata, di bawah model baru ekonomi itu, kerajaan akan membangunkan sektor perkhidmatan bagi menjadi peneraju pertumbuhan dan pembentukan kekayaan baru DAN pada masa yang sama menggalakkan sektor pembuatan untuk bergerak ke rantaian nilai yang lebih tinggi.
 
Langkah-langkah itu diharap dapat menyelesaikan secara tuntas kemelut yang dialami negara selama ini dari segi ekonomi iaitu bermaksud tiada menunjukkan perubahan struktur, katanya di Majlis Perdana Perkhidmatan Awam Ke-sepuluh di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya di sini hari ini.
 
“Ia bermaksud kita bukan lagi boleh dianggap sebagai pusat pengeluaran berkos rendah, kita juga belum berupaya melonjakkan negara ke peringkat lebih tinggi dalam rantaian nilai sektor yang sama,” katanya.
 
Beliau berkata model baru ekonomi itu juga diharapkan akan menjadi pemangkin kepada Malaysia untuk meningkatkan statusnya dari sebuah negara berpendapatan pertengahan atas kepada negara berpendapatan tinggi.
 
Ia juga dapat meletakkan negara kembali di landasan yang betul bagi merealisasikan Wawasan 2020 untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju, katanya.
 
Bagi cabaran jangka pendek yang dihadapi negara ketika ini, katanya, ialah untuk memastikan negara akan mengalami impak yang seminima mungkin kesan kegawatan kewangan dan ekonomi global yang sedang berlaku.
 
Selain itu, cabaran untuk keluar dari kemelut ekonomi dan kewangan yang ada dengan kadar paling pantas serta cabaran untuk membantu rakyat Malaysia bagi menangani keperitan hidup yang dialami, kata Najib.
 
Beliau yakin sektor perkhidmatan awam akan terus mampu memainkan peranan bagi menangani cabaran-cabaran tersebut kerana sejarah telah membuktikan mereka berjaya membantu dalam proses transformasi Malaysia.
 
Transformasi dari sebuah negara pertanian berubah menjadi sebuah negara perindustrian moden sehingga Malaysia muncul di kalangan 20 negara perdagangan terbesar di dunia, katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply