Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
Ekonomi dijangka pulih – PM - Najib Razak
News_archive

Ekonomi dijangka pulih – PM

By Thursday May 28th, 2009 No Comments

PUTRAJAYA 28 Mei – Pelaksanaan Pakej Rangsangan Ekonomi kini mula menunjukkan kesan positif dan diyakini mampu memulihkan ekonomi negara pada penghujung tahun ini, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Pada masa sama, Perdana Menteri berkata, perkembangan positif lain memperlihatkan kadar pengangguran yang kian berkurangan sebanyak empat peratus manakala kadar pinjaman bank meningkat 10 peratus.

Serentak itu, beliau menegaskan, kerajaan akan terus memastikan Pakej Rangsangan Ekonomi Pertama dan Kedua serta perbelanjaan peruntukan bajet tahunan dapat memberi impak positif kepada ekonomi negara.

“Kesan positif ini turut disokong oleh harga komoditi, pasaran saham dan keyakinan pelabur yang semakin meningkat.

“Dengan perkembangan ini, diharapkan ekonomi negara beransur pulih pada penghujung tahun ini,” katanya pada sidang akhbar di pejabatnya di sini hari ini.

Semalam, Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Dr. Zeti Akhtar Aziz berkata, ekonomi negara menguncup lebih teruk berbanding unjuran sebelumnya apabila Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) pada suku pertama 2009 berada di paras -6.2 berbanding 7.4 peratus pada tempoh yang sama tahun lalu berikutan krisis semasa ekonomi dunia terus berlarutan.

Najib yang juga Menteri Kewangan memberitahu, ini merupakan pertumbuhan ekonomi negatif suku tahunan pertama yang dialami sejak suku ketiga 2001.

Katanya, pertumbuhan negatif itu disebabkan oleh kesan kelembapan ketara ekonomi dunia dan perdagangan antarabangsa yang telah menjejaskan permintaan eksport negara sejak separuh kedua 2008.

“Seterusnya perbelanjaan permintaan domestik kecuali perbelanjaan awam semakin merosot berikutan kelembapan aktiviti pelaburan dan penggunaan swasta.

“Dari sudut penawaran, hampir semua sektor ekonomi utama telah merosot kecuali sektor pembinaan yang telah mendapat manfaat daripada pelaksanaan projek-projek pembangunan sektor awam,” ujarnya.

Selaras dengan perkembangan tersebut, jelas beliau, kerajaan telah menyemak semula unjuran kadar pertumbuhan KDNK benar Malaysia bagi tahun ini daripada antara -1 hingga 1 peratus kepada -4 hingga -5 peratus.

Beliau berkata, bagi memantapkan daya tahan dan daya saing ekonomi negara dalam menghadapi keadaan getir semasa, kerajaan akan memastikan beberapa langkah yang ditetapkan, diikuti.

Langkah-langkah tersebut adalah memastikan peruntukan kerajaan dibelanjakan mengikut jadual dan mengutamakan pulangan menguntungkan; langkah liberalisasi diperhebat; pembangunan modal insan dipertingkatkan; dan sistem penyampaian perkhidmatan awam dimantapkan lagi.

Bagaimanapun, Perdana Menteri menambah, dalam menghadapi keadaan ekonomi yang getir, kerajaan akan tetap memastikan kepentingan serta kesejahteraan rakyat didahulukan dengan mengutamakan pembangunan menyeluruh supaya semua lapisan masyarakat dapat menikmati hasil kemakmuran negara.

“Kerajaan juga akan terus berusaha melonjakkan ekonomi negara ke arah aktiviti ekonomi bernilai tambah tinggi.

“Untuk ini, satu model ekonomi baru sedang digubal di mana sektor-sektor berpotensi tinggi akan diberikan tumpuan khusus yang berteraskan inovasi dan kreativiti serta berasaskan pengetahuan,” jelasnya.

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply