News_archive

ECER Tarik Pelaburan Berenilai Lebih RM9 Bilion Pada Suku Pertama 2012

By Tuesday February 28th, 2012 No Comments

PUTRAJAYA, 28 Feb (Bernama) — Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECER) berjaya menarik pelaburan bernilai RM9 bilion dalam bidang pelancongan, akuakultur, pembuatan dan pendidikan pada suku pertama tahun ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Pembangunan ECER Datuk Jebasingam Issace John berkata sembilan projek baharu itu meliputi dua projek bernilai RM5.5 bilion di Mersing, Johor, lima projek bernilai RM2 bilion di Pahang, satu projek bernilai RM1 bilion di Terengganu dan satu lagi projek bernilai RM500 juta di Kelantan.

“Pelaburan baharu itu akan meningkatkan aktiviti ekonomi berasaskan sumber di ECER dan membantu mewujudkan peluang-peluang ekonomi yang lebih baik untuk penduduk tempatan dengan menjana pekerjaan baharu dan peluang keusahawanan,” katanya pada majlis bertukar-tukar dokumen antara ECER dan pelabur.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin menyaksikan majlis pertukaran dokumen itu.

Turut hadir ialah Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Ahmad Said, Menteri Besar Pahang Datuk Seri Adnan Yaakob, Menteri Besar Johor Datuk Abdul Ghani Othman dan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Nor Mohamed Yakcop.

Sumber : Bernama

Leave a Reply