News_archive

E-mel Dan SMS: Cara PM Ucapkan Tahun Baru Cina Secara Peribadi

By Thursday February 3rd, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, 3 Feb (Bernama) — Kiriman e-mel dan khidmat pesanan ringkas (SMS) yang mengandungi ucapan Selamat Tahun Baru Cina oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan keluarganya merupakan satu cara untuk beliau menyampaikan ucapan itu secara peribadi kepada seluruh rakyat Malaysia khususnya kaum Cina.

“Ia merupakan satu cara di mana saya sebagai Perdana Menteri untuk saya menyampaikan ucapan Tahun Baru Cina secara lebih personal kepada rakyat Malaysia terutamanya mereka yang berketurunan Cina supaya mereka merasakan bahawa sambutan perayaan mereka itu dihargai oleh kerajaan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika diminta mengulas mengenai ucapan perayaan itu yang disampaikan menerusi medium baru selain blog beliau www.1malaysia.com.my, selepas menghadiri sambutan Rumah Terbuka Tahun Baru Cina anjuran parti Gerakan di sini pada Khamis.

Ketika ditanya jumlah penerima kiriman e-mel dan SMS daripada beliau, Najib berkata: “Saya rasa sangat banyak, saya tak pasti berapa banyak.”

Sejak awal minggu ini, kebanyakan rakyat Malaysia telah menerima ucapan Tahun Baru Cina daripada pemimpin nombor satu negara itu menerusi e-mel dan SMS yang antara lain beliau mengimbas kembali kemeriahan dan keceriaan sambutan perayaan itu ketika beliau masih kecil.

“Setiap kali tibanya perayaan ini, saya masih terbayang kemeriahan dan keceriaan yang saya lalui semasa kecil, sudah pasti saya tidak akan ketinggalan mengikut ibu bapa saya menziarahi rakan-rakan beliau yang berketurunan Cina.

“Makanan kegemaran semasa musim perayaan ini semestinya kuih kapit, kuih bangkit, tat nenas, kerepek ‘ngaku’ manakala limau Mandarin sering menjadi pilihan utama.

“Teringat juga, sewaktu kecil adakalanya saya dihampiri oleh rakan-rakan ibu bapa yang menghulurkan angpow. Tetapi sekarang, suasana sudah berbeza. Hidangan sudah berubah, pelbagai juadah seperti sate, ais kacang, mee rebus dan maruku juga disediakan,” demikian antara kandungan ucapan Najib.

Mengulas pula mengenai sambutan Tahun Baru Cina di negara ini, Najib berharap tradisi kunjung-mengunjung dan semangat muhibah di antara semua kaum akan dapat diteruskan supaya dapat membina sebuah negara Malaysia yang lebih bersatu padu dan berjaya.

“Saya hendak melahirkan rasa kegembiraan saya di mana sambutan Tahun Baru Cina pada tahun ini dapat sambutan yang meriah sama ada di rumah terbuka anjuran MCA mahupun Gerakan. Ini jelas memperlihatkan bahawa semangat muhibah, semangat 1Malaysia masih hidup membara di kalangan rakyat berbilang kaum di negara kita,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply