News_archive

Duta Malaysia Ke Switzerland Juga Ditauliahkan Ke Vatican City State

By Tuesday July 19th, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, 19 Julai (Bernama) — Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Mohamed Nazri Aziz Selasa berkata Duta Malaysia ke Switzerland akan ditauliahkan ke Vatican City State berikutan langkah kedua-dua negara menjalin hubungan diplomatik.

Ketika ini Datuk Ho May Yong ialah Duta Malaysia ke Switzerland.

Mohamed Nazri percaya negara terkecil di dunia itu, sebuah wilayah bebas dan berdaulat terletak di kawasan 0.44 km persegi itu juga akan mengambil langkah serupa dengan menugaskan seorang diplomat ke Malaysia.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis taklimat mengenai program penggunaan tenaga secara efisien di bangunan mahkamah di sini, hari ini.

Mohamed Nazri berkata langkah kerajaan menjalin hubungan diplomatik secara rasmi dengan Vatican adalah langkah yang betul dan konsisten.

Beliau juga berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merupakan seorang pemimpin yang berpandangan jauh apabila mengambil langkah untuk menjalin hubungan dengan The Vatican.

Najib, selepas mengadakan pertemuan dengan Pope Benedict XVI di Castel Gandolfo, kediaman musim panas pemimpin penganut Katolik itu, di pinggir Rom pada Isnin, mengumumkan Malaysia dan Vatican bersetuju menjalin hubungan diplomatik bagi menggalakkan hubungan persahabatan dan mengukuhkan kerjasama antara kedua-dua pihak.

Sumber : Bernama

Leave a Reply