News_archive

DUN Melaka Ucap Tahniah Kepada Najib

By Thursday April 23rd, 2009 No Comments

MELAKA, 22 April (Bernama) — Persidangan Dewan Undangan Negeri Melaka Rabu merakamkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Najib Tun Razak di atas pelantikan sebagai Perdana Menteri Keenam Malaysia.

Persidangan dewan itu juga merakamkan ucapan penghargaan dan terima kasih kepada mantan perdana menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi.

Usul ucapan tahniah kepada Najib dan penghargaan serta terima kasih kepada Abdullah dikemukakan Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Setelah dibahaskan oleh beberapa anggota dewan, usul berkenaan diluluskan sebulat suara.

Najib mengambil alih jawatan Perdana Menteri daripada Abdullah pada 3 April lepas.

Mohd Ali ketika membentangkan usul berkenaan berkata rakyat dan kerajaan negeri Melaka memberi akujanji untuk memberi sokongan padu terhadap konsep dan falsafah 1Malaysia termasuk menerima pakai Petunjuk Prestasi Utama (KPI) yang diperkenalkan Najib.

“Hendaknya pihak tertentu terutama pembangkang turut menyokong konsep tersebut, jangan hanya diputar belit dan disamakan dengan konsep Malaysian Malaysia, perbezaannya amat besar sekali,” katanya.

Beliau mengajak semua pihak termasuk pembangkang agar bersama Perdana Menteri menghadapi ancaman daripada krisis ekonomi dunia.

Persidangan dewan disambung esok.

— BERNAMA

Sumber : Bernama

Leave a Reply