News_archive

Dialog Shangri-La Amat Berjaya, Kata Pemangku Perdana Menteri Singapura

By Sunday June 5th, 2011 No Comments

SINGAPURA, 5 Jun Bernama) — Pemangku Perdana Menteri Singapura Teo Chee Hean menyifatkan Sidang Kemuncak Keselamatan Asia ke-10 di sini yang berakhir Ahad sebagai suatu kejayaan besar.

Katanya persidangan yang dikenali sebagai Dialog Shangri-La pada tahun ini adalah amat berjaya kerana dapat menghimpunkan barisan pemimpin kanan dari negara-negara penting di dalam dan luar rantau ini.

Ucapan pengenalan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak telah melakarkan haluan persidangan dengan baik, kata Teo kepada Bernama di luar persidangan tahunan itu di sini.

Najib menyampaikan ucaptama pada pembukaan persidangan itu Jumaat lepas atas jempuan pihak penganjur, Institut Antarabangsa Bagi Kajian Strategik (IISS).

Dalam ucapan itu, Najib berkata Malaysia begitu komited untuk memainkan peranan yang lebih besar bagi memastikan keamanan dan keselamatan global.

Selain Najib, antara tokoh yang menghadiri Dialog Shangri-La tersebut ialah Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat, Robert Gates dan penampilan sulung Menteri Pertahanan China, Jeneral Liang Guanglie.

Bagi Gates, yang pernah berkhidmat di bawah lapan presiden Amerika Syarikat, persidangan kali ini merupakan terakhir sebelum persaraannya.

Menurutnya, persidangan tersebut dalam masa yang agak singkat telah menjadi forum penting bagi menggalakkan dialog dan mewujudkan persefahaman di kalangan negara peserta.

Dalam ucapan terakhirnya, Gates memberi jaminan bahawa ekonomi dan bajet Amerika Syarikat serta peperangan yang menelan kos tinggi di Iraq dan Afghanistan tidak akan menjejaskan komitmen negara itu di Asia.

Dalam pada itu, Jeneral Liang memberi ucapan sulung dengan menyentuh pelbagai topik termasuk keselamatan siber, kerjasama antarabangsa dan pemodenan ketenteraan China.

Dialog Shangri-La, yang diianjurkan oleh IISS sejak 2002, telah menghimpunkan perwakilan dari 28 buah negara dari rantau Asia Pasifik dan Eropah.

Sumber : Bernama

Leave a Reply