News_archive

Dewan Rakyat: Lawatan Rasmi PM Ke Kazakhstan Kukuhkan Hubungan Dua Hala

By Tuesday October 11th, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, 11 Okt (Bernama) — Lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ke Kazakhstan pada awal Jun lepas berjaya memperkukuhkan komitmen dan meningkatkan lagi hubungan dua hala antara kedua-dua negara.

Menteri Luar Datuk Seri Anifah Aman berkata lawatan itu juga mewujudkan perintis bagi mendorong penglibatan dan kerjasama pelbagai pihak di kedua-dua negara untuk melaksanakan beberapa “signature project” dalam beberapa bidang termasuk perbankan Islam, minyak dan gas, pembinaan dan industri makanan halal.

“Lawatan rasmi ini juga telah menyaksikan tiga perjanjian yang ditandatangani di antara Malaysia dan Kazakhstan,” katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Tian Chua (PKR-Batu) di Dewan Rakyat di sini, Selasa.

Anifah berkata Najib, yang mengetuai delegasi Malaysia ke Forum Ekonomi Islam Sedunia Ke-tujuh (WIEF) di Astana, Kazakhstan dari 7 hingga 9 Jun lepas, turut membuka lebih banyak peluang perniagaan dan perdagangan di antara kedua-dua negara.

Beliau berkata kejayaan lawatan itu dapat dilihat menerusi Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh syarikat-syarikat Malaysia sepanjang forum berlangsung termasuk lima perjanjian dimeterai Malaysia dan Kazakhstan.

Merujuk lawatan rasmi Najib ke Turkmenistan pada 11 hingga 12 Julai lepas, Anifah berkata lawatan berkenaan adalah sebagai memenuhi jemputan Presiden Turkmenistan sepertimana lawatan ke Kazakhstan atas jemputan Presiden Nursultan Nazarbayev.

“Lawatan itu antara lain bertujuan memperkukuhkan komitmen Malaysia dan Turkmenistan untuk meningkatkan lagi kerjasama dan hubungan dua hala kedua-dua negara dalam pelbagai bidang.

“Sebanyak lima dokumen ditandatangani semasa lawatan itu dan Perdana Menteri juga merasmikan Terminal Gas Pertama Petronas di Kiyanli, Turkmenbashi pada 12 Julai lepas di samping turut mengumumkan pembukaan Kedutaan Besar Malaysia di Ashgabat, Turkmenistan,” katanya.

Sementara itu, katanya, lawatan Najib ke Perth, Australia pada 31 Ogos hingga 3 Sept lepas merupakan lawatan peribadi tetapi Perdana Menteri mengambil peluang untuk bertemu dengan pelajar dan rakyat Malaysia di negara itu pada satu majlis sambutan Aidilfitri yang dianjurkan Konsulat Jeneral Malaysia.

“Perdana Menteri juga telah meluangkan masa bertemu dan berbincang dengan wakil-wakil sebuah kumpulan Muslim di Perth,” katanya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply