News_archive

Dewan Rakyat: Kerajaan Sedia Semak Undang-undang Sekuriti Dan Pasaran Modal – Najib

By Monday March 14th, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, 15 Mac (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata kerajaan sentiasa berusaha menyemak undang-undang sedia ada bagi memastikan undang-undang sekuriti sentiasa relevan dan sejajar dengan pembangunan pasaran modal negara.

Najib, yang juga Menteri Kewangan, berkata ini termasuk semakan terhadap peruntukan penguatkuasaan undang-undang sekuriti.

“Kes-kes yang melibatkan manipulasi pasaran saham dan pengumuman kenyataan palsu oleh pengarah dan pegawai syarikat tersenari merupakan jenayah serius yang boleh menjejaskan keyakinan pelabur serta integriti pasaran saham.

“Oleh sebab itu, Suruhanjaya Sekuriti telah mengambil beberapa langkah untuk memperkukuhkan tadbir urus korporat di Malaysia,” katanya dalam jawapan bertulis kepada Wee Choo Keong (Bebas-Wangsa Maju) di Dewan Rakyat di sini Selasa.

Wee ingin tahu sama ada kerajaan bercadang untuk meminda undang-undang sekuriti sedia ada dengan mengenakan hukuman penjara mandatori terhadap jenayah kolar putih memandangkan trend masa kini di mana mahkamah telah mengenakan denda yang tidak setimpal terhadap kes-kes melibatkan manipulasi pasaran saham, pengumuman kenyataan tidak benar/palsu oleh pengarah-pengarah yang disenaraikan di Bursa Malaysia.

Dalam hal ini, Perdana Menteri berkata Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 memperuntukkan hukuman tertentu bersabit dengan salah laku pasaran.

Bagi kes manipulasi pasaran saham, katanya hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun atau denda tidak kurang daripada RM1 juta atau kedua-duanya sekali, manakala bagi kesalahan mengemukakan maklumat palsu, hukuman penjara tidak melebihi 10 tahun dan denda tidak melebihi RM3 juta, dikenakan terhadap pesalah.

Katanya mahkamah juga turut mengenakan hukuman yang lebih berat terhadap pesalah sekuriti.

Contohnya, katanya Mahkamah Rayuan baru-baru ini telah bersetuju dengan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Sesyen yang mengenakan hukuman penjara tiga tahun dan denda RM1 juta ke atas seorang bekas remisier atas kesalahan memberikan maklumat palsu kepada pelanggannya berkenaan dengan pembelian saham.

“Mahkamah Tinggi pada 11 Januari, 2011, pula telah menambah hukuman denda RM300,000 dengan mengenakan hukuman penjara selama enam bulan ke atas dua orang pengarah syarikat tersenarai kerana memberikan maklumat mengelirukan kepada Bursa Malaysia.

“Maklumat mengelirukan ini terkandung di dalam penyataan kewangan syarikat tersebut,” kataya.

Katanya Mahkamah Sesyen pada 7 Januari, 2011, juga mengenakan hukuman penjara dua tahun dan denda RM3 juta ke atas seorang individu atas kesalahan manipulasi pasaran, manakala seorang lagi dikenakan hukuman penjara tiga bulan dan denda RM2 juta atas kesalahan yang sama.

Sumber : Bernama

Leave a Reply