News_archive

Dewan lulus batalkan 3 Proklamasi Darurat

By Friday November 25th, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR: Dewan Rakyat semalam meluluskan usul Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak untuk membatalkan tiga Proklamasi Darurat kerana keadaan darurat yang berleluasa dan mengancam keselamatan atau kehidupan ekonomi serta ketenteraman awam sudah tidak lagi wujud.

Ketika membentangkan usul berkenaan, Najib berkata, kesan pembatalan Proklamasi Darurat 1966, Proklamasi Darurat 1969 dan Proklamasi Darurat 1977 ini menurut Fasal (7) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan turut menyaksikan beberapa ordinan dan undang-undang berkaitan akan terhenti berkuat kuasa selepas habis tempoh enam bulan dari tarikh Proklamasi Darurat berkenaan dibatalkan.
Katanya, berikutan itu, langkah sewajarnya perlu diambil bagi memastikan tidak timbul sebarang kesukaran dan halangan kepada kerajaan mengawal jenayah dan perkara yang boleh menyebabkan ancaman terhadap keselamatan dan ketenteraman awam.

“Dengan pembatalan Proklamasi Darurat, kerajaan tidak lagi mempunyai kuasa membuat undang-undang di bawah Perkara 150 Perlembagaan dan memulangkan kembali kuasa berkenaan kepada Parlimen kecuali dalam aspek undang-undang syarak dan adat istiadat Melayu, serta undang-undang adat anak negeri bagi Sabah dan Sarawak.

“Ia membuktikan kerajaan sentiasa bersedia untuk melakukan pembaharuan dalam undang-undang negara supaya ia selaras dengan kehendak semasa dan mengukuhkan lagi usaha kerajaan memastikan negara sentiasa maju,” katanya ketika membentangkan usul berkenaan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat.

Najib berkata, langkah kerajaan membatalkan Proklamasi Darurat yang masih berkuat kuasa di seluruh negara dan dua proklamasi darurat khusus yang berkuat kuasa di Sarawak dan Kelantan, adalah fasa kedua terhadap Program Transformasi Politik (PTP) Malaysia.

“Ia adalah fasa kedua terhadap PTP yang diumumkan ketika ucapan saya pada malam Hari Malaysia, 15 September lalu.
“Fasa pertama sudah dilaksanakan melalui pemansuhan Akta Buang Negeri 1959 dan Akta Kediaman Terhad 1933 serta pembebasan semua tahanan perintah kediaman terhad selain pembatalan waran-waran yang belum disampaikan.

“Maka pada hari ini dan detik ini, kerajaan membentangkan pula fasa kedua PTP itu menerusi pembatalan proklamasi terbabit,” katanya.

Menjelaskan usul berkenaan, beliau berkata, pembatalan ini akan kekal mempersada prinsip ketinggian Perlembagaan seperti yang termaktub dalam Fasal (1) Perkara 4 Perlembagaan selain memansuhkan secara langsung kuasa luar biasa seperti terkandung dalam ordinan dan akta yang dibuat di bawah Perkara 150.

“Ini juga bererti semua ordinan yang sudah digubal ketika darurat, perlu digubal semula oleh Parlimen jika perlu. Berikutan itu, kerajaan akan membentangkan rang undang-undang yang perlu pada Mac 2012.

“Pembatalan ini juga akan menyegarkan semula falsafah persekutuan dan meletakkan hubungan dengan kerajaan negeri di trek yang lebih kukuh tanpa dibayang Fasal (4) Perkara 150,” katanya.

Najib juga berkata, kerajaan mengambil keputusan membatalkan proklamasi berkenaan berasaskan bahawa punca atau sebab mengapa ia diisytiharkan sudah lapuk ditelan zaman.

“Sememangnya tindakan yang diambil kerajaan Barisan Nasional (BN) ini amat penting lagi monumental kerana ia dilakukan secara sukarela dan mengembalikan kuasa luar biasa yang dimiliki tanpa sebarang paksaan.

“Hendaklah diingat, langkah ini adalah sama beraninya dengan tindakan bapa-bapa kita apabila mengisytiharkan darurat, walau apa pun tohmahan melanda ketika itu.

“Tindakan ini kita ambil kerana yakin dengan kebijaksanaan serta percaya terhadap kematangan rakyat demi masa depan negara ketika berusaha menjadikan Malaysia negara maju dan mempunyai amalan demokrasi yang matang, bugar dan bertanggungjawab.

“Ringkasnya sebuah demokrasi yang berfungsi, yang mana hak untuk berbeza pendapat dan berlainan pandangan sebagai satu rahmat, bagi mencari jalan terbaik, demi Pertiwi dan kepentingan kebangsaan, bukannya atas alasan hendak melabel atau menyisih mana-mana pihak,” katanya.

FAKTA:

* Proklamasi Darurat 1966, : Proklamasi Darurat yang dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong pada 14 September 1966 di Sarawak, bertujuan membolehkan kerajaan selesaikan pertikaian politik di Sarawak.
* Proklamasi Darurat 1969 : Proklamasi Darurat yang dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong pada 15 Mei 1969 berikutan rusuhan kaum pada 13 Mei 1969.
* Proklamasi Darurat 1977 : Proklamasi Darurat yang dikeluarkan Yang di-Pertuan Agong pada 8 November 1977 di Kelantan bertujuan menyelesaikan pertikaian politik di Kelantan.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply