News_archive

Deepavali Diraikan Dengan Semangat Keharmonian

By Wednesday October 26th, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, 26 Okt (Bernama) — Sambutan Deepavali diraikan di seluruh negara dengan semangat keharmonian yang terus subur di kalangan masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Sikap positif masyarakat beragama Hindu yang mengadakan rumah terbuka yang dikunjungi olah rakan bukan beragama Hindu yang menghulurkan ucap Selamat Deepavali kepada mereka ternyata menyuburkan lagi benih perpaduan kaum yang dipupuk sejak sekian lama.

Di KUALA LUMPUR keprihatinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dalam mempupuk semangat keharmonian kaum menerusi perayaan jelas kelihatan apabila beliau memenuhi undangan empat Rumah Terbuka Deepavali sejurus tiba di tanah air pada pukul 8.30 pagi dari Riyadh, Arab Saudi.

Acara pertama beliau ialah sambutan Deepavali bersama warga akhbar berbahasa Tamil, Makkal Osai yang diadakan di Bangunan Peladang, Koperasi Kebangsaan Permodalan Tanah Berhad (NLFCS), Jalan Templer.

Najib beramah mesra selama kira-kira 30 minit di rumah terbuka itu yang dihadiri kira-kira 1,000 masyarakat berbilang kaum.

Perdana Menteri kemudian menghadiri sambutan Deepavali anjuran MIC di pekarangan kuil Batu Caves sebelum ke Rumah Terbuka anjuran Dewan Perniagaan India di Sentul dan kemudiannya menuju ke Stadium Badminton Kuala Lumpur di Cheras bagi memenuhi undangan sambutan Deepavali anjuran Hindu Sangam.

Di SHAH ALAM, perayaan Deepavali disambut secara sederhana dan penganut Hindu mengunjungi kuil di sekitar bandar raya ini dan Klang untuk bersembahyang.

Mereka juga mengambil kesempatan mengadakan rumah terbuka untuk dikunjungi saudara mara serta sahabat handai.

Di MELAKA, Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam dan ratusan tetamu lain turut memeriahkan majlis rumah terbuka Deepavali anjuran Pengerusi MIC negeri Datuk R.Perumal, yang juga Exco kerajaan negeri, di kediamannya di Taman Selandar Baru, Jasin.

Selain itu, bandar raya Melaka turut menjadi tumpuan pelancong asing yang ingin sama-sama merasai sambutan penuh warna-warni perayaan Pesta Cahaya khususnya di kawasan tumpuan di Jalan Temenggung.

Di ALOR SETAR, kemeriahan Deepavali amat dirasai penganut agama Hindu di Daerah Kubang Pasu, Padang Terap, Kota Setar, Pendang dan Pokok Sena berbanding tahun lepas di mana mereka terpaksa menyambut dalam keadaan banjir teruk yang melanda kawasan terbabit.

Sejak pagi, kuil-kuil di sini dikunjungi masyarakat India yang bersembahyang sebelum meneruskan aktiviti mengunjungi sanak-saudara dan rakan-rakan.

Di KUALA KRAI, perayaan Deepavali yang disambut kira-kira 5,000 masyarakat India di Kelantan dimulai dengan upacara mandi minyak di sebelah pagi sebelum mengunjungi kuil untuk bersembahyang.

Pengerusi MIC Kelantan, M.Kuppusamy berkata selain amalan tradisi berkunjung ke rumah terbuka, sambutan di Kelantan akan diserikan dengan ‘Malam Deepavali’ yang akan diadakan di bandar Kuala Krai.

Katanya sebanyak 350 hamper diedarkan kepada masyarakat India kurang berkemampuan yang tinggal di kawasan pedalaman Kuala Krai.

Di PULAU PINANG, selain meraikan Deepavali, cuaca baik di negeri itu dimanfaatkan oleh orang ramai untuk bersiar-siar di beberapa tempat peranginan seperti Bukit Bendera dan Batu Feringghi selain membeli-belah.

Di PERLIS, Deepavali disambut secara sederhana tanpa sebarang rumah terbuka namun tradisi mengunjungi rakan-rakan dan sanak-saudara tetap berlangsung.

Walaupun masyarakat India adalah golongan minoriti di negeri itu, semangat 1Malaysia tetap terserlah apabila masyarakat lain berkunjung ke rumah rakan-rakan mereka yang menganut agama Hindu untuk sama-sama merasai kemeriahan Pesta Cahaya.

Sumber : Bernama

Leave a Reply