News_archive

Dana Ainuddin Wahid ditubuhkan

By Tuesday September 27th, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR 27 Sept. – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan penubuhan Dana Kebajikan Ainuddin Wahid sebagai mengenang jasa dan sumbangan besar bekas Naib Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu dalam membangunkan modal insan bumiputera.

Menurut Perdana Menteri, dana kebajikan tersebut yang berjumlah RM10 juta akan diagih-agihkan secara berperingkat dengan peruntukan sebanyak RM2 juta setahun, untuk membiayai kos pengajian lima pelajar di peringkat Ijazah Doktor Falsafah (PhD) di UTM.

“Dana ini adalah sebagai mengenang jasa besar beliau. Ia akan diagih secara berperingkat-peringkat untuk tempoh lima tahun dan pelajar PhD yang akan dibiayai melalui dana ini terdiri daripada kumpulan lima pelajar terbaik di kalangan yang terbaik.

“Pelajar yang dibiayai ini juga akan ditempatkan selama enam bulan semasa pengajian mereka di salah sebuah universiti tersohor di dunia seperti Oxford, Cambridge dan Imperial College,” katanya semasa melancarkan buku biografi Tan Sri Ainuddin Abdul Wahid, di sini hari ini.

Hadir sama, Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Ir. Dr. Zaini Ujang dan penulis buku biografi ‘Ainuddin: Pejuang Degil Melayu’, Datin Seri Fatini Yaacub.

Menurut Najib, Ainuddin seorang tokoh yang memiliki kegigihan luar biasa dalam usahanya memastikan anak bangsa berjaya dan atas kewibawaan tersebutlah Perdana Menteri kedua, Tun Abdul Razak melantik beliau sebagai Pengetua Maktab Teknik pada 1968.

Jelas Perdana Menteri, keyakinan bapanya terhadap Ainuddin begitu tinggi meskipun ketika itu tokoh berkenaan masih muda dan ia terbukti apabila Maktab Teknik dinaik taraf kepada Institut Teknologi Kebangsaan (1972) sehinggalah akhirnya dijenamakan sebagai UTM.

“Saya ucapkan syabas kepada Ainuddin. Kegigihan, kerajinan, nilai integriti serta jasanya wajar kita raikan. Penghargaan ini bukan kita beri sekadar untuk memuji tetapi lebih daripada itu. Ini kerana beliau telah banyak berkorban demi agama, bangsa dan tanah air,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Perdana Menteri sekali lagi mengingatkan kepada seluruh rakyat Malaysia agar menghargai sejarah dan pengorbanan tokoh terdahulu seperti Ainuddin, bukannya bertindak mentafsir sejarah mengikut kepentingan sendiri.

Sumber : Utusan

Leave a Reply