News_archive

Cuti Thaipusam jika BN rampas Kedah

By Thursday January 20th, 2011 No Comments

SUNGAI PETANI 20 Jan. – Lebih 50,000 penganut agama Hindu membanjiri Kuil Sri Subramaniya Swami Devasthanam di Pekan Lama, Jalan Kuala Ketil di sini malam ini untuk membayar nazar sempena sambutan Hari Thaipusam.

Lebih menarik, sambutan bagi menghormati kelahiran Dewa Murugan kali ini dianggap bermakna memandangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak turut menghadiri majlis berkenaan.

Perdana Menteri dalam ucapannya mengulangi pendirian kerajaan untuk mempertahankan keharmonian kaum dan agama di negara ini berdasarkan prinsip Perlembagaan sedia ada.

Najib menegaskan, Islam sebagai agama rasmi negara juga mengajar penganutnya untuk menghormati kewujudan pelbagai bangsa dan agama di dunia.

“Sebagai sebuah kerajaan, kita tetap menghormati peranan serta sumbangan setiap masyarakat termasuk masyarakat India,” katanya.

Perdana Menteri berharap rakyat negara ini dapat mempertahankan status sedia ada dengan memberikan sokongan padu kepada kerajaan pimpinannya untuk menerajui negara.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memberikan jaminan akan mengisytiharkan Thaipusam sebagai hari cuti umum sekiranya Barisan Nasional (BN) kembali memerintah negeri ini.

“Kita sudah laksanakan janji ini di Wilayah Persekutuan malah di Pulau Pinang dahulu. Tidak mustahil Kedah juga bakal mendapat cuti umum ini jika BN kembali berkuasa,” katanya.

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply