News_archive

Contohi kematangan Najib

By Monday June 22nd, 2009 No Comments

SELEPAS 39 tahun sejarah kerjasama UMNO-Pas dicapai pada 1970, impian untuk melihat kedua-dua parti yang membela kaum Melayu dan Islam itu kembali bersatu sebenarnya tidak pernah mati.

Walaupun perbincangannya sering menemui jalan buntu rentetan politiking berlebihan bangsa Melayu, namun harapan yang ada walaupun sekelumit, tetap dihidupkan dengan impian bahawa sejarah sekali lagi bakal tercipta.

Daripada muzakarah membawa kepada muqabalah dan hari ini kerajaan perpaduan, apa jua yang dicadangkan, telah disambut penuh ikhlas oleh UMNO atas nama perpaduan bangsa.

Walaupun ia bukanlah matlamat tunjang atau wajib dicapai sepenuhnya, namun usaha untuk membentuk kerajaan perpaduan itu sudah diluahkan oleh Pas.

Secara tersurat atau tersirat agenda di sebalik perkara ini, hanya akan terjawab setelah kerjasama UMNO dan Pas itu berlaku.

Justeru, retorik atau realiti bukan persoalan utama atau seharusnya menjadi kekangan dalam mencapai matlamat ini, selagi ia tidak benar-benar menjadi realiti.

Pas sudah menunjukkan kesungguhan untuk menjayakan usaha besar ini termasuk menerusi Mursyidul Am parti itu, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang mula memberikan reaksi positif.

Pendirian yang sama ditunjukkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak sejak pertama kali menyambut idea kerajaan perpaduan yang dicadangkan oleh Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Malah, Najib sendiri melihat adanya keikhlasan yang tinggi daripada pelawaan itu dan berharap ia dapat dicapai dalam suasana yang penuh harmoni.

Selain Abdul Hadi, Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa dan Ketua Pemudanya, Nasruddin Hassan Tantawi adalah antara pemimpin Pas yang dilihat sangat terbuka dengan idea kerajaan perpaduan itu.

Hakikatnya hasrat untuk menyaksikan kedua-dua parti utama orang Melayu dan Islam ini bersatu tidak mungkin tercapai sekiranya tiada perubahan sikap di kalangan pemimpin UMNO dan Pas sendiri.

Perubahan sikap itulah juga yang menjadi tulang belakang kepada kerjasama Pas dan UMNO pada 1970.

Najib sendiri secara peribadi pastinya mahu mengulangi kejayaan ayahandanya, Tun Abdul Razak Hussein yang berjaya merapatkan Pas dan UMNO sewaktu menjadi Perdana Menteri.

Meskipun Malaysia yang dipimpin oleh Najib dan Abdul Razak berbeza daripada segi waktu dan keperluan, namun kedua-dua mereka berkongsi matlamat yang sama.

Mereka mahu melihat perpaduan orang Melayu dan umat Islam di negara ini terus utuh melangkaui perbezaan ideologi.

Sewaktu era kepimpinan Tun Abdul Razak, kerjasama UMNO dan Pas tercapai atas keperluan perpaduan nasional dan keselamatan negara terutama selepas berlakunya tragedi 13 Mei 1969.

Biarpun hanya bertahan beberapa tahun kerana pergolakan politik ketika itu, namun sekurang-kurangnya asas kepada kerjasama tersebut sudah ada. Hari ini, perubahan politik hebat yang melanda negara khususnya di kalangan orang Melayu sekali lagi mendesak kepada kerjasama itu.

Asakan dan tekanan yang diterima oleh orang Melayu terutama dalam hal-hal yang menyentuh mengenai keistimewaan masyarakat Bumiputera dibangkitkan silih berganti.

Adalah jelas, kuasa politik orang Melayu dan umat Islam sememangnya berada dalam satu keadaan yang memerlukan kita melupakan seketika perbezaan dan perbalahan remeh-temeh demi kepentingan bersama.

Perpecahan juga akan menyebabkan usaha meningkatkan kualiti orang Melayu terutamanya daripada sudut ekonomi akan selamanya menjadi sia-sia. Maka, sewajarnya asas-asas perpaduan yang pernah ada itu dihidupkan kembali sebelum ia semakin jauh menjarakkan Pas dan UMNO.

Bagi pemimpin bertaraf ulama seperti Abdul Hadi sendiri, soal perpaduan di kalangan orang Melayu dan Islam pastinya sesuatu yang sangat jelas.

Islam sangat menekankan soal perpaduan termasuk dengan bukan Muslim, apatah lagi sesama Muslim. Persaudaraan Islam juga merupakan satu tuntutan sosial yang besar, kerana umat Islam dan orang Melayu itu sendiri ibarat satu jasad.

Maka, apa jua ruang yang boleh menyaksikan perpaduan antara orang Melayu dan umat Islam patut disuburkan sekiranya kita benar-benar berjuang untuk agama, bangsa dan negara.

Perbezaan yang tidak melibatkan akidah seharusnya tidak sampai memecahbelahkan orang Melayu dan umat Islam.

Golongan yang mengaku lebih Islamik daripada orang lain secara sendiri tidak menghiraukan apa yang diperjuangkan oleh Islam, iaitu persaudaraan di kalangan orang Mukmin.

Kerana itu juga kesungguhan pemimpin seperti Najib dan Abdul Hadi diharap membuka lembaran baru terhadap hala tuju kerjasama antara Pas dan UMNO.

Najib sendiri di sebalik pelbagai tohmahan dan prasangka buruk yang dilemparkan terhadap UMNO tidak sekelumit pun menyimpan rasa dendam.

Sebagai Presiden UMNO, Najib berhak berasa terguris apabila kumpulan di dalam Pas sendiri pernah melabelkan UMNO sebagai “parti kafir”.

Namun mengenangkan matlamat persaudaraan orang Melayu dan umat Islam itu lebih utama, semua tohmahan itu diterima tanpa menjadi barah.

Hakikat yang sama turut ditekankan oleh pensyarah di Jabatan Antropologi dan Sosiologi, Universiti Malaya (UM), Dr. Noor Sulastry Yurni Ahmad.

Menurut Noor Sulastry, sikap keterbukaan Najib itu sendiri melambangkan prinsip gagasan Satu Malaysia yang diperjuangkan beliau. Iaitu sentiasa memberi peluang dan bersikap positif terhadap apa jua perkara yang cenderung ke arah kebaikan semua.

Bagi Noor Sulastry, tafsiran daripada sikap keterbukaan Najib itu sangat mudah.

Najib melihat satu keperluan untuk UMNO bekerjasama dengan Pas kerana sejarah pernah membuktikan kejayaannya.

Beliau juga merupakan seorang pemimpin yang bijak mencorak masa depan seperti yang dimahukan.

Kecenderungan beliau bukanlah angan-angan, sebaliknya sesuatu yang diharapkan mampu untuk dicapai. Sebagai Perdana Menteri yang dedikasi terhadap semua golongan, Najib pastinya berharap perpaduan Melayu dapat diperkukuhkan.

Apatah lagi ketika ini terlalu banyak kecelaruan dan ketegangan dicetuskan dengan niat untuk memecahbelahkan kaum majoriti ini.

”Najib menyedari mengenai anasir-anasir ini dan langkah kerajaan perpaduan dilihat sebagai satu anjakan paradigma untuk membetulkan silaturahim di kalangan masyarakat Melayu,” ujar Noor Sulastry.

Pandangan sama turut dikongsi oleh pensyarah di Fakulti Sains Pentadbiran & Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Kampus Dungun, Terengganu, Asri Salleh.

Beliau berpendapat, Najib dapat membaca sejauh mana kebaikan dan faedah kepada rakyat Malaysia khususnya orang Islam dan Melayu yang bakal dijelmakan menerusi kerjasama perpaduan itu.

Kerana itu juga, Najib sangat terbuka untuk membuka ruang dan pintu untuk perbincangan awal mengenai idea tersebut.

Apa yang mustahak tambah Asri ialah bibit-bibit perbincangan awal antara pemimpin kedua-dua parti Melayu dan Islam tersebut.

Jika sekali pun idea itu gagal atau sengaja digagalkan oleh pihak-pihak berkepentingan, sekurang-kurangnya Najib dan Abdul Hadi telah mencuba membuahkan sesuatu yang positif untuk kepentingan orang Melayu.

“Ia secara tidak langsung memberikan imej yang lebih baik kepada kedua-dua parti UMNO dan Pas di kalangan orang Melayu dan umat Islam,” jelas Asri.

Tidak dinafikan kerajaan perpaduan itu melangkaui tuntutan politik semata-mata.

Tetapi jangan dilupa bahawa perpaduan harus dipupuk untuk mendapatkan keseimbangan dalam politik dan kedua-duanya bergerak seiringan.

Walau apa jua kerajaan yang terbentuk, segala tuntutan dan desakan kelompok minoriti tetap akan dibela oleh kerajaan sebagai tanggungjawab yang wajib dilaksanakan.

Sumber : Utu
san Malaysia

Leave a Reply