News_archive

Chingay Bukti Toleransi Kaum Negara Ini – Najib

By Sunday February 12th, 2012 No Comments

JOHOR BAHARU, 12 Feb (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyifatkan perarakan Chingay sebagai bukti toleransi kaum di negara ini.

Beliau berkata ia juga adalah bukti penerimaan rakyat pelbagai kaum terhadap satu sama lain dan juga sebagai meraikan kepelbagaian yang ada dari segi kepercayaan dan kebudayaan masing-masing.

Perarakan itu yang diadakan setiap tahun sejak 142 tahun lalu katanya menyaksikan kerjasama antara lima kumpulan (dialek) utama Tiong Hua iaitu Hainan, Kantonis, Hakka, Hokkein dan Teochew.

“Saya percaya ia akan meninggalkan kesan yang besar dan kita hormati kepelbagaian dalam masyarakat ini,” katanya pada Majlis Perarakan Chingay Kuil Kuno Johor di Jalan Wong Ah Fook, di sini.

Turut hadir ialah isteri beliau Datin Seri Rosmah Mansor.

Najib yang pertama kalinya menyaksikan perarakan itu melahirkan rasa bangganya terhadap keunikannya.

Beliau juga mengesahkan Perarakan Chingay kini diiktiraf sebagai Warisan Kebudayaan Kebangsaan dan akan diwartakan tidak lama lagi.

Sementara itu, Presiden Persekutuan Tiong Hua Johor Baharu, Lim Ik Kim berkata perarakan berkenaan menarik 250,000 penyertaan dan kunjungan pelancong dan mendapat liputan meluas media China serta juga Singapura.

Sumber : Bernama

Leave a Reply