News_archive

China bukan ancaman tetapi rakan

By Tuesday June 2nd, 2009 No Comments

BEIJING 3 Jun – Datuk Seri Najib Tun Razak yang berazam untuk membawa hubungan Malaysia dan China ke peringkat lebih tinggi berkata, negara ini bukan ancaman kepada rantau Asia tetapi merupakan rakan penting untuk menjalin kerjasama dalam pelbagai bidang.

Perdana Menteri berkata, jika dilihat kepada sejarah negara ini, ia tidak pernah menggunakan kekuatan tentera untuk mengancam atau menakluki negara lain sebaliknya lebih menumpukan kepada usaha menjalin persahabatan dan perdagangan.

Katanya, bagi pengalaman Malaysia pula jalinan persahabatan dengan China bermula sejak era Dinasti Ming dan terus diperkukuhkan melalui lawatan bersejarah Allahyarham bapanya, Tun Abdul Razak Hussein pada tahun 1974.

“Sebab itu Malaysia tidak pernah melihat China sebagai ancaman kepada Malaysia ataupun rantau Asia. Pada zaman sekarang kita kena lihat segala kemungkinan di hadapan.

“Sebagai anak kepada Allahyarham (Tun Abdul Razak) saya berazam untuk membawa hubungan Malaysia dan China ke peringkat lebih tinggi,” katanya.

Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada majlis penganugerahan ijazah doktor kehormat oleh Universiti Kajian Luar Beijing (BFSU) kepadanya dan perasmian Persidangan Antarabangsa Pengajian Melayu Beijing di sini hari ini.

Pada majlis itu Perdana Menteri berucap sepenuhnya menggunakan bahasa Melayu dan menerima tepukan gemuruh daripada tetamu kenamaan yang hadir serta pelajar-pelajar Pengajian Melayu di universiti tersebut.

Anugerah ijazah kehormat itu disampaikan oleh Naib Menteri Pelajaran China yang juga Presiden BFSU, Prof. Hao Ping.

Hadir sama ibu Perdana Menteri, Tun Rahah Mohd. Noah dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor serta dua anaknya Nooryana Najwa dan Norashman.

Najib berkata, jika China merupakan ancaman kepada rantau ini, ia boleh berbuat demikian ketika armadanya dengan lebih 30,000 bala tentera diketuai Laksamana Cheng Ho singgah di Melaka sekitar kurun ke-14.

“Tetapi tamadun China tidak berbuat demikian tetapi belajar menjalin persahabatan,” katanya.

Perdana Menteri juga berkata, hubungan Malaysia dan China juga terus utuh kerana langkah berani dan tepat yang diambil Tun Abdul Razak untuk menjalin hubungan diplomatik 35 tahun lalu.

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply