News_archive

China Berpendapat Konsep 1Malaysia Adalah Baik

By Friday January 14th, 2011 No Comments

PUTRAJAYA, 14 Jan (Bernama) — Negara China berpendapat konsep 1Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak adalah konsep yang baik kerana ia diberi penekanan oleh kerajaan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Koh Tsu Koon berkata China juga mengamalkan konsep yang sama dalam hubungan etniknya.

“Kita berkongsi pengalaman walaupun keadaan dan latar belakang sejarah kedua-dua negara adalah berbeza.

“Tetapi hakikatnya kita berkongsi idea yang sama. Kita bercakap mengenai konsep 1Malaysia di sini untuk memupuk persefahaman, kita juga mempunyai konsep yang sama untuk mewujudkan kerjasama.

“Jadi terdapat banyak prinsip dan nilai asas yang membuatkan kita rasa lebih bersemangat, walaupun kita boleh dikatakan berbeza, China sebuah negara yang besar, keadaannya adalah berlainan, kita lebih kecil tetapi menghadapi cabaran yang sama untuk mengekalkan hubungan etnik antara kaum,” katanya kepada pemberita.

Terdahulu, beliau menerima kunjungan hormat Naib Menteri Suruhanjaya Ehwal Etnik Negara China, Wu Shimin di pejabatnya di sini.

Koh berkata Perdana Menteri telah menekankan aspek perpaduan dalam kepelbagaian dan melihat kepelbagaian itu sebagai satu aset dan bukan liabiliti kerana Malaysia mempunyai etnik yang berlainan, kumpulan agama dan kemampuan linguistik yang berbeza.

“Malaysia berupaya untuk berkomunikasi dengan China, India, negara-negara Islam dan Barat melalui kebolehan linguistik yang berbeza, agama dan kebudayaan.

“Jadi, kepelbagaian menjadi kekuatan kita yang boleh dimanfaatkan. Itu salah satu sebab mengapa Malaysia, walaupun kita kecil, tetapi adalah antara 20 negara perdagangan utama di dunia,” katanya.

Katanya pertemuan itu amat bermakna kerana kedua-dua delegasi dapat bertukar-tukar pandangan dan pengalaman termasuk idea mengukuhkan hubungan antara etnik.

Pada sidang akhbar yang sama, Wu berkata beliau percaya negara yang mempunyai kumpulan etnik yang pelbagai adalah bertuah kerana ia berjaya menyisihkan perbezaan itu.

Beliau percaya untuk menyelesaikan konflik etnik yang berlainan atau hubungan agama yang pelbagai, seseorang itu harus bersikap proaktif berdasarkan harmoni dan pembangunan ekonomi.

Sumber : Bernama

Leave a Reply