News_archive

Calon Pilihan Raya Umum Ke-13 Adalah Calon Pilihan Rakyat, Kata Najib

By Sunday December 5th, 2010 No Comments

KUALA LUMPUR, 5 Dis (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak memberi jaminan bahawa calon Barisan Nasional (BN) yang bakal terpilih pada pilihan raya umum akan datang, adalah terdiri calon pilihan rakyat.

“Kita akan tekankan soal rakyat didahulukan,” kata Perdana Menteri kepada pemberita selepas berakhir Konvensyen Barisan Nasional (BN) 2010 di Wisma MCA di sini Ahad.

Najib, yang juga Pengerusi BN berkata demikian ketika ditanya mengenai kaedah pemilihan calon pilihan raya umum akan datang sama ada akan mendahulukan calon pilihan rakyat atau berdasarkan kehendak parti semata-mata.

Mengenai kuota pembahagian kerusi pula, Najib berkata perkara itu akan diputuskan atas semangat parti BN dengan mengadakan rundingan dengan semua 13 parti komponen.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menegaskan bahawa Konvensyen BN yang diadakan hari ini adalah sebagai satu proses untuk mengukuhkan dan menguatkan BN secara berterusan.

“Ia bukanlah menjelang pilihan raya umum ke-13, sebaliknya satu proses yang berterusan. Pilihan raya boleh diadakan pada bila-bila masa sahaja. Terpulang kepada kami untuk menentukan bila masa yang paling baik,” katanya, sambil menolak tanggapan bahawa konvensyen itu diadakan semata-mata untuk BN membuat persiapan menghadapi pilihan raya umum akan datang.

Ketika diminta mengulas kenyataan Presiden MCA Datuk Seri Dr Chua Soi Lek semasa perbahasan, Najib berkata ia terpakai kepada kedua-dua pihak.

“Dalam lain perkataan, kita perlu sensitif mengenai semua parti komponen. Ini tidak bermakna Umno sahaja, tetapi MCA, MIC, dan semua pihak; ia terpakai kepada semua. Ini bukanlah ditujukan kepada Umno semata-mata.”

Ketika berucap, Dr Chua berkata BN tidak seharusnya dilihat hanya bekerjasama semasa pilihan raya tetapi perlu tulen dalam perkongsian kuasa pada sepanjang masa.

Beliau berkata keputusan berkaitan dasar utama mesti dimaklumkan kepada semua parti komponen sebelum dihebahkan kepada orang ramai.

Sumber : Bernama

Leave a Reply