Cadangan skim i-Survive RM5,000. Saya mengambil maklum bahawa: – ramai…

By Monday July 5th, 2021 No Comments

Cadangan skim i-Survive RM5,000.

Saya mengambil maklum bahawa:
– ramai Rakyat Malaysia juga yang tiada simpanan KWSP;
– Bantuan BPR, GKP dan skim i-Citra agak agak mengecewa bagi ramai yang sudah lama terdesak setelah 2 bulan menghadapi PKP 3.0.;
– Banyak negara lain seperti Hong Kong (HK$10k tahun lepas, HK$5k tahun ini) dan Amerika Syarikat (US$3,627) telah memberi bantuan tunai yang lebih tinggi pada zaman pandemik ini;
– Kekangan kewangan kerajaan PN yang sudah berbelanja RM600 bilion tanpa hasil yang ketara yang sudah pecah bajet tahun 2020 dan 2021;
– Bank-bank Malaysia masih mencatat keuntungan yang semakin besar dan masih tidak mahu mengetepikan faedah dalam tempoh moratorium sebab tidak mahu rugi satu sen;
– bagi mengelak Rakyat terjerat oleh Kredit Komuniti kesayangan kerajaan PN; dan
– ekonomi tempatan yang masih lembab.

Maka saya cadang skim pinjaman faedah rendah 3% i-Survive sebanyak RM5,000 seorang diwujudkan bagi SEMUA Rakyat Malaysia yang berumur 18 tahun ke atas yang berdaftar dengan LHDN.

Kadar faedah 3% ini juga lebih rendah dari kadar dividen KWSP atau ASB.

Mohon hari ini, automatik mendapat kelulusan tanpa perlu sebarang penilaian permohonan. Wang RM5,000 masuk akaun tiga hari kemudian.

Skim ini:
– dijamin penuh oleh kerajaan. Jaminan kerajaan tidak masuk dalam pengiraan nisbah hutang atau defisit tahunan bajet kerajaan.
– tempoh bayaran balik ialah sehingga tahun kemudian.
– hanya akan mengenakan faedah 3% setahun atau RM150 setahun atau maksima RM450 untuk keseluruhan tempoh 3 tahun.
– tiada ansuran bulanan. Cuma bayar faedah tahunan RM150 dan baki prinsipal sepenuhnya sebelum tempoh 3 tahun berakhir.
– Kerajaan akan bantu membayar balik prinsipal dengan potongan separuh bayaran BR1M atau BPN bagi golongan B40 dan M40 bermula tahun 2022 depan. Jika BR1M sebanyak RM2,000 setahun maka kerajaan akan potong RM1,000 pada tahun depan untuk digunakan untuk membayar balik RM1,000 bagi prinsipal skim i-Survive. Jika RM1,000 dibayar kerajaan setiap tahun maka jumlah pinjaman RM5,000 ini akan berkurang sebanyak RM3,000. Peminjam cuma perlu langsaikan baki RM2,000 itu sahaja.
– Peminjam yang mampu bayar balik setelah ekonomi memulih, digalakkan untuk langsaikan sepenuhnya sahaja.

Selain itu, Bank tidak akan kerugian sebab kadar 3% ini adalah masih lebih tinggi berbanding kadar faedah 1.95% dibayar bank bagi simpanan tetap 3 tahun pada ketika ini.

Bank juga tidak akan rugi sebab kerajaan akan bantu melangsaikan sebahagian hutang setiap tahun serta menjamin keseluruhan jumlah pinjaman.

Bank juga akan mendapat customer baharu apabila skim ini dilancarkan.

Jadi, bank masih untung tetapi keuntungannya tidak seperti biasa.

Jika 5 juta Rakyat memohon, jumlah pinjaman adalah RM25 bilion dan sekiranya 10 juta orang memohon maka jumlahnya ialah RM50 bilion – cuma 10% daripada jumlah pinjaman terkumpul sebanyak RM500 bilion bagi kesemua bank di Malaysia pada ketika ini.

Kerajaan juga boleh membantu bank dari segi aliran tunai dengan menurunkan lagi Nisbah Keperluan Berkanun yang ditetapkan BNM.

Selain merancakkan ekonomi tempatan dan membantu Rakyat dalam masa paling terdesak akibat kesilapan-kesilapan kerajaan dalam pengendalian Covid, kerajaan juga akan mendapat manfaat dari segi jumlah orang yang akan mendaftar dengan LHDN untuk layak menerima skim i-Survive ini.

Skim ini juga dicadangkan atas kepercayaan saya bahawa keutamaan sekarang ialah Rakyat perlu SURVIVE hari ini – mengatasi segala-galanya yang lain.

Apa pendapat kawan-kawan?



Original post: https://www.facebook.com/157851205951/posts/10157991257050952/

Leave a Reply