BlogFeatured Articles

Cadangan Hala Tuju Ekonomi Negara

By Thursday April 13th, 2017 No Comments

Alhamdulillah, petang semalam saya berkesempatan untuk membincangkan hala tuju ekonomi negara ke arah mencapai Transformasi Nasional 2050 bersama 28 wakil berkepakaran dalam bidang ekonomi dan kewangan.

Saya gembira dengan idea dan input yang telah diberikan. Rata-rata, mereka bersetuju dengan polisi-polisi yang dilaksanakan kerajaan dalam memastikan ekonomi negara kekal mampan. Boleh dikatakan hampir semua bersetuju bahawa fokus patut diberikan dalam pembangunan modal insan dan peningkatan produktiviti dalam menyediakan Malaysia ke arah 2050. Saya turut berkongsi dengan semua harapan saya untuk melihat peningkatan kesedaran sivik dalam kalangan masyarakat kita.

Ramai juga yang memberi maklum balas yang positif berkenaan langkah kerajaan melaksanakan Digital Free Trade Zone. Saya terima baik input En Suhaimi Ilias dari Maybank Berhad yang meminta kerajaan memberi fokus kepada penyediaan digital workforce dalam memastikan kita benar-benar bersedia untuk menjadi hab digital ekonomi. En Nurhisham Hussein dari Kumpulan Wang Simpanan Pekerja juga telah mencadangkan agar kerajaan lebih agresif dalam membantu perniagaan berbentuk start-ups.

Dari segi perancangan jangka panjang, saya tertarik dengan input daripada En Patrick Tay dari PricewaterhouseCoopers (PwC) yang telah mencadangkan agar kita mengambil peluang lokasi negara kita yang strategik dengan menjadi satu platform ekonomi yang kukuh bagi emerging markets. Beliau juga menyarankan agar kerajaan lebih terbuka dalam membawa kepakaran dari luar bagi memastikan tiada jurang dalam permintaan dan penawaran.

Saya mengambil maklum pandangan yang diutarakan oleh Dr Zulkiply Omar dari Malaysian Institute of Economic Research dan Datuk Seri K.Govindan dari RAM Holdings Berhad berkenaan industry pertanian dalam memastikan food security dalam jangka masa panjang.

Selain itu, En Md Hasrin dari Persatuan Remiser Bumiputera Malaysia telah mencadangkan agar lebih banyak roadshow atau pameran dijalankan bagi menggalakkan lebih banyak penyertaan peruncitan dalam pasaran modal. Dato’ Dr Nazri Khan dari Malaysian Association of Technical Analyst juga telah mencadangkan penggunaan robo-advisor dalam pengurusan kewangan.

Secara keseluruhannya, saya amat berpuas hati dengan sesi perbincangan ini.

Saya telah mengambil kesempatan untuk menegaskan bahawa kerajaan akan terus komited dalam memastikan pertumbuhan ekonomi kekal kukuh dalam ketidaktentuan ekonomi global. Polisi-polisi yang digubal kerajaan juga akan berpaksikan prinsip inklusiviti di mana mereka yang kurang bernasib baik akan terus dibantu.

Ini penting dalam memastikan kita mencapai visi untuk menjadi antara 20 negara teratas menjelang 2050, Insya-Allah.

Leave a Reply