Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
Bumiputera tetap dibantu - Najib Razak
News_archive

Bumiputera tetap dibantu

By Thursday April 16th, 2009 No Comments

KUALA LUMPUR 15 April – Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini memberi jaminan pelaksanaan konsep Satu Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan tidak akan menyebabkan kerajaan mengenepikan dasar afirmatif untuk menolong bumiputera.

Perdana Menteri berkata, dasar itu tetap dilaksanakan dengan cara adil iaitu dengan memberi pertimbangan kepada golongan yang layak untuk mendapat sesuatu pertolongan kerajaan.

Sehubungan itu, beliau menegaskan, konsep Satu Malaysia sama sekali berbeza dengan konsep ‘Malaysian Malaysia’ seperti yang cuba dikelirukan oleh segelintir pihak terutama parti pembangkang.

“Konsep Satu Malaysia tak boleh disalahertikan oleh pihak-pihak tertentu termasuk pembangkang bahawa ia sama dengan konsep ‘Malaysian Malaysia’. Ia tak sama.

“Di bawah konsep Satu Malaysia bererti kita berdiri, kita berfikir dan bertindak sebagai bangsa Malaysia. One People,” katanya pada sidang akhbar sebelum pertemuan dengan editor media tempatan di kediamannya di sini hari ini.

Menurut Najib, beliau juga telah menekankan dalam mesyuarat Kabinet hari ini supaya para menteri bertindak berdasarkan kehendak semua kumpulan etnik.

“Umpamanya, kalau kita buat program untuk membina rumah-rumah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) kita jangan lupa rakyat bumiputera Sabah dan Sarawak yang hidup di rumah-rumah panjang. Mereka juga mesti dibekalkan dengan program untuk membina semula rumah-rumah panjang.

“Dan, kalau kita memperjuangkan soal kemiskinan, kita mesti melihat kemiskinan yang merentasi semua kaum sama ada di bandar, luar bandar, ladang, kampung baru atau kumpulan orang asli,” jelasnya.

Ditanya prinsip asas konsep Satu Malaysia, Perdana Menteri berkata, tiada asas rigid menentukannya tetapi apa yang penting ialah bukan saja sikap toleransi sebaliknya hormat dan saling percaya di kalangan masyarakat pelbagai kaum.

Katanya, sebab itu anggota Jemaah Menteri diingatkan supaya tidak hanya memberikan perhatian kepada kelompok komuniti etnik yang mereka wakili sahaja.

“Apabila kita bebaskan dua orang pemimpin Hindraf, jangan lupa MIC pun kena sebut juga tentang 11 (tahanan ISA yang turut dibebaskan) yang lain itu. Jangan ingat yang dua itu saja.

“Sebenarnya kita banyak bertindak dalam kerangka pemikiran etnik kita saja sejak sekian lama. Apabila kita bebaskan tahanan, automatik, kita tengok itu orang Melayu ke, India ke. Itu salah.

“Kalau ada kemalangan tengah jalan pun, tengok dulu, Melayu ke Cina ke India. Itu ada pada mentaliti sebahagian rakyat Malaysia. Kita kena keluar daripadanya. Kalau orang kemalangan… mati, tak kisahlah siapa pun, kita kena tolong,” ujarnya.

Justeru, tambah Perdana Menteri, semua pemimpin parti komponen Barisan Nasional (BN) telah diminta supaya keluar daripada cara kebiasaan selama ini yang berasaskan kelompok kaum tertentu saja.

“Pada saya, kalau pemimpin MCA, pergilah masuk kampung Melayu sama, pemimpin UMNO pula pergilah ke kawasan Cina dan MIC pula ke kumpulan lain.

“Biar kita keluar daripada cara bertindak dalam tembok etnik yang kita amalkan sejak sekian lama. Itu juga pada saya maksud konsep Satu Malaysia,” katanya.

Sumber : Utusan

Leave a Reply