News_archive

BN, Umno Mahu Kerajaan Yang Kuat – Kata Najib

By Saturday December 3rd, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR, 3 Dis (Bernama) — Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Barisan Nasional (BN) dan Umno mahu sebuah kerajaan yang kuat dengan majoriti yang selesa pada pilihan raya umum akan datang.

“Kami pastinya mahu sebuah kerajaan yang kuat. Apa jua yang ditafsirkan sebagai sebuah kerajaan yang kuat, inilah yang kami mahu.

“Ini kerana (majoriti) dua pertiga adalah sesuatu yang unggul tetapi yang penting adalah sebuah kerajaan yang kuat boleh menjadi kerajaan yang majoritinya bekerja atau kerajaan yang memperoleh dua pertiga,” katanya pada sidang media selepas berakhirnya Perhimpunan Agung Umno 2011 di Pusat Dagangan Dunia Putra di sini.

Presiden Umno itu berkata demikian ketika menjawab soalan sama ada beliau berpuas hati dengan BN mendapat majoriti dua pertiga atau setakat mendapat majoriti mudah pada pilihan raya umum ke-13 kelak.

Najib, yang juga Pengerusi BN, berkata parti itu juga boleh menawan semula empat negeri yang dikuasai pembangkang pada pilihan raya umum yang akan datang.

“Kita tetap yakin kita boleh menang tetapi saya tidak mahu memandang rendah (pembangkang). Sebab kalau kita memandang rendah pembangkang pembangkang, ia satu daripada kesilapan yang kita boleh lakukan.

“Bila kita nak ambil alih (se)sebuah negeri ia menuntut kepada persedian, persiapan dan strategi yang lebih hebat lagi daripada biasa,” katanya.

Ditanya sama ada beliau mahu mengumumkan sendiri bahawa perhimpunan kali ini yang terakhir sebelum pilihan raya umum seperti didakwa ramai pihak, beliau berkata: “Kalau sebut sendiri saya dah bagi isyaratlah.”

Beliau berkata semangat di dalam perhimpunan juga memberikan sedikit bayangan untuk tarikh pilihan raya.

Katanya persiapan pilihan raya berjalan berterusan dan pemimpin Umno dan BN akan terus mengadakan perjumpaan dan pertemuan dengan rakyat ke seluruh negara.

“Sebenarnya untuk pilihan raya, (persediaan) berjalan, ia satu proses berterusan.

Dan (kami) akan jelajah, jelajah, jelajah, lagi berapa pusingan, saya tak tahu,” katanya.

Mengenai konvensyen BN yang akan diadakan di Perak bulan depan, Presiden Umno itu berkata hampir kesemua negeri sudah mengadakannya dan mungkin seterusnya konvensyen diadakan atas nama Umno pula.

Sumber : Bernama

Leave a Reply