News_archive

BN sedia kerjasama

By Monday May 11th, 2009 No Comments

Kemelut Perak boleh diatasi jika undang-undang dipatuhi: Najib

PEKAN: Datuk Seri Najib Razak berkata, Barisan Nasional (BN) sedia bekerjasama dengan parti pembangkang untuk menamatkan kemelut politik di Perak, tetapi ia tidak bermakna BN bersetuju membentuk kerajaan campuran.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BN, berkata kerjasama itu lebih menjurus dalam konteks pentadbiran negara dan kedua-dua pihak saling hormat-menghormati serta sentiasa mematuhi undang-undang.

“Kerjasama tidak semestinya bererti kita buat kerajaan campuran, tidak semestinya bentuk itu, ia boleh dalam pelbagai bentuk, yang penting sekali saling hormat-menghormati antara satu sama lain,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Mesyuarat Kelompok Cawangan Umno Bahagian Pekan di sini, semalam.

Najib mengulas kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang, kelmarin yang bersedia mengadakan perbincangan dengannya bagi menyelesaikan kemelut politik di Perak.

Perdana Menteri yang juga Ahli Parlimen dan Ketua Umno bahagian Pekan, berkata BN bersikap terbuka dan tidak mahu kekacauan di Perak berterusan.

“Kita mahu berkhidmat untuk rakyat semua kaum dan ini yang kita tekankan. Sebenarnya kalau kita semua ikut peraturan dan menghormati undang-undang, tidak ada kemelut.

“Tetapi apabila masing-masing nak menegakkan benang yang basah… itu yang jadi masalah seperti mana kita lihat pada sidang Dewan Undangan Negeri Perak baru-baru ini. Saya harap perkara ini tidak berulang lagi,” katanya.

Mengenai keputusan Majlis Tertinggi Parti Progresif Penduduk (PPP) memecat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T Murugiah kerana didakwa terbabit dalam politik wang, Najib berkata, beliau akan mengulas selepas mendapat laporan lengkap.

“Saya pun tahu selepas membaca akhbar,” katanya yang enggan mengulas mengenai kedudukan Murugiah dalam Kabinet.

Kelmarin, Presiden PPP, Datuk M Kayveas, berkata pemecatan Murugiah yang juga Ahli Majlis Tertinggi parti itu, berkuat kuasa selepas pemilihan PPP pada 7 Jun depan.
Di TAIPING, Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir, berharap Kit Siang jujur dan sedia menerangkan perkara sebenar yang menyebabkan kekecohan sidang DUN, Khamis lalu.

“Kit Siang tidak seharusnya bermain sentimen politik keterlaluan. Kit Siang mesti bersikap jujur dan menerangkan sesuatu yang benar dalam pertemuan dengan Perdana Menteri jika mahu mencari penyelesaian yang baik,” katanya.

Zambry turut kecewa dengan laporan beberapa media yang mengelirukan berhubung isu kekecohan sidang DUN Perak.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply