Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
BN sedia kerjasama, bukan bentuk kerajaan - Najib Razak
News_archive

BN sedia kerjasama, bukan bentuk kerajaan

By Sunday May 10th, 2009 No Comments

PEKAN 10 Mei – Barisan Nasional (BN) bersedia bekerjasama dengan parti pembangkang di Perak bagi mengatasi kemelut politik di negeri berkenaan, tetapi ia tidak sampai ke tahap membentuk kerajaan campuran.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, kerjasama itu boleh diadakan dalam pelbagai bentuk termasuk melibatkan urusan pentadbiran kerajaan negeri.

”Walaupun kerjasama (diwujudkan), ia tidak bererti kita membuat kerajaan campuran. Itu tidak semestinya dalam bentuk itu, kerjasama boleh dalam pelbagai bentuk.

”Apa yang penting sekali, kita menghormati antara satu sama lain,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan secara berkelompok mesyuarat dan menyampaikan sumbangan kepada cawangan-cawangan UMNO Bahagian Pekan di sini hari ini.

Perdana Menteri mengulas kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang semalam yang sedia bekerjasama dengan beliau bagi menyelesaikan kemelut politik di Perak yang bermula sejak BN mengambil alih pemerintahan negeri itu daripada pakatan rakyat, tiga bulan lalu.

Kit Siang berkata, beliau melihat isu itu sebagai perkara yang penting dan perlu diberi perhatian segera supaya kemelut terbabit tidak berpanjangan sehingga menjejaskan pentadbiran negeri yang perlu memberi tumpuan kepada rakyat.

Mengulas lanjut, Perdana Menteri berkata, kemelut politik di Perak tidak akan berlaku sekiranya semua pihak terutama pembangkang menghormati peraturan dan undang-undang negara.

Bagaimanapun, katanya, tindakan pembangkang yang ‘menegakkan benang basah’ menyebabkan timbul kekecohan seperti yang berlaku dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak baru-baru ini.

Perdana Menteri yang berharap perkara tersebut tidak berulang menjelaskan, BN bersikap terbuka dalam masalah tersebut dan tidak mahu kekacauan berterusan kerana mahu memberi tumpuan dan berkhidmat kepada rakyat.

”Sebenarnya, kalau semua ikut peraturan, tiada kemelut. Jadi, bila masing-masing hendak menegakkan ‘benang yang basah’, itu jadi masalah.

”Macam mana pun kita bersikap terbuka dan tidak mahu kekacauan berterusan. Kita hendak berkhidmat untuk rakyat. Ini yang ditekankan dan kita hendak berkhidmat untuk semua kaum di Perak dan juga di seluruh negara,” jelasnya.

Mengulas tindakan Majlis Tertinggi (MT) Parti Progresif Penduduk (PPP) memecat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T. Murugiah kerana didakwa terbabit politik wang, Perdana Menteri berkata, beliau akan menghalusi perkara tersebut sebelum membuat sebarang ulasan lanjut.

”Saya tidak tahu apa-apa lagi melainkan saya baca dalam surat khabar sahaja,” katanya.

Menurut Najib, beliau juga akan meneliti sama ada perlu mendapatkan penjelasan lanjut berhubung perkara itu daripada Presiden PPP, Datuk M. Kayveas.

Ditanya kedudukan Murugiah dalam Kabinet pula, Perdana Menteri berkata:

“Itu terpulang, saya kena fikir dulu.”

Sumber : Utusan Malaysia

Leave a Reply