News_archive

BN Percaya Rakyat Tentukan Nasibnya Pada Pilihan Raya

By Wednesday June 29th, 2011 No Comments

KOTA KINABALU, 29 Jun (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata Barisan Nasional (BN) sentiasa menyerahkan nasibnya kepada rakyat setiap kali ia berdepan dengan pembangkang semasa pilihan raya.

Perdana Menteri berkata BN percaya rakyat membuat keputusan bijak melalui proses pilihan raya bukannya melalui demonstrasi jalanan seperti perhimpunan haram yang dirancang 9 Julai depan.

“Bila sampai masanya (untuk mengadakan pilihan raya) BN sedia bersaing dengan pembangkang dan serah nasibnya kepada rakyat…bukan semasa demonstrasi jalanan,” katanya kepada lebih 10,000 hadirin pada jamuan 1Malaysia di Padang Merdeka di sini Rabu malam.

Najib berkata BN tidak mahu menang pilihan raya secara penipuan sebaliknya sedia berdepan dengan apa jua cemuhan pembangkang semasa pilihan raya.

Katanya sekiranya pilihan raya diadakan secara tidak adil, mustahil BN kalah di beberapa buah negeri dan gagal mencapai kemenangan majoriti dua pertiga pada pilihan raya umum yang lepas.

Najib berkata beliau yakin rakyat di Sabah yang beliau sifatkan sebagai contoh terbaik konsep 1Malaysia akan membantah rancangan mengadakan perhimpunan haram yang mahu dianjurkan oleh pihak berkepentingan.

Katanya keharmonian kaum yang dinikmati oleh rakyat Malaysia terutama di Sabah tidak harus diambil ringan, kerana menurut Perdana Menteri, rancangan seperti mengadakan perhimpunan haram boleh membawa keburukan dengan sekelip mata kepada semua.

Najib juga yakin Sabah akan kekal di tangan BN menjelang pilihan raya akan datang.

Beliau berkata ini kerana kerajaan BN telah banyak membawa pembangunan dan perubahan yang ternyata memberi manfaat kepada rakyat di negeri ini.

Mengenai gagasan 1Malaysa, Perdana Menteri menekankan tentang perlunya mempunyai dasar-dasar dan sistem yang adil di bawah prinsip inklusif untuk semua kaum selain keadilan sosial di negara ini.

Sumber : Bernama

Leave a Reply