News_archive

BN masih relevan: PM

By Monday November 21st, 2011 No Comments

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berkata, jenama Barisan Nasional (BN) masih relevan dan diterima rakyat, khususnya di kalangan generasi muda tetapi usaha mesti diteruskan bagi memastikan pengisian produk dan perkhidmatannya memenuhi kehendak dan keperluan golongan berkenaan.

Perdana Menteri berkata, kejayaan Karnival Kerjaya Pemuda BN 2011 (BNYJF) yang mendapat sambutan di seluruh negara dengan program kemuncak semalam membuktikan jenama BN terus mendapat sokongan dan sambutan.

“BN masih mendapat sambutan tetapi bergantung kepada produk dan perkhidmatan yang dikaitkan dengan BN. Jika ada pihak yang sangsi BN tidak boleh dipasarkan lagi, ia tersasar dan meleset kerana BNYJF mendapat sambutan.

“Oleh itu untuk mendapat sambutan pada tahap tinggi, maka kena kaitkan jenama itu dengan produk dan perkhidmatan yang baik,” katanya pada majlis penutup BNYJF, di Pusat Dagangan Dunia Putra, di sini semalam.

Najib yang juga Presiden UMNO dan Pengerusi BN berkata, jika konsep sama diterjemahkan dalam pilihan raya, jenama BN perlu dikaitkan dengan calon boleh menang untuk memastikan kejayaan pada Pilihan Raya Umum Ke-13 nanti.

Hadir sama Pengerusi Pemuda BN, Khairy Jamaluddin. Perdana Menteri turut melancarkan laman portal kerjaya Pemuda BN yang menyediakan panduan kepada generasi muda berkaitan pekerjaan, perniagaan dan agenda negara yang akan berfungsi sepenuhnya awal tahun depan.
Najib berkata, sambutan rakyat terhadap karnival itu membuktikan dakwaan pembangkang bahawa BN semakin gagal mendapat sokongan rakyat meleset.

Katanya, ia turut membuktikan peranan Pemuda BN sebagai sayap parti yang berupaya menyediakan sebahagian penyelesaian, bukannya menyumbang kepada sebahagian daripada masalah parti seperti yang didakwa.

Sementara itu Khairy berkata, BNYJF boleh dianggap satu kejayaan kepada masalah pengangguran kerana satu daripada tujuh pengunjung ke karnival mendapat pekerjaan yang ditawarkan.

“Karnival ini satu jalan penyelesaian, pemilikan rumah pertama juga adalah satu daripada usaha kita ke arah itu dan apa yang kita lakukan hari ini, adalah untuk mendekati generasi muda.

“Kita sudah ada `winnable PM (Perdana Menteri boleh menang)’ dan apa yang perlu kita lakukan sekarang ialah memastikan `winnable BN’,” katanya.

Sumber : Berita Harian

Leave a Reply