News_archive

BN Mahukan Kuasa Untuk Dahulukan Rakyat, Kata Najib

By Thursday January 20th, 2011 No Comments

SUNGAI PETANI, 20 Jan (Bernama) — Barisan Nasional (BN) memerlukan kuasa bagi membolehkannya mendahulukan rakyat, bukannya semata-mata untuk kepentingan peribadi parti, kata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak.

Beliau berkata oleh kerana hanya BN yang mampu membawa negara ke arah kemajuan, rakyat perlu meletak orang yang benar-benar berkemampuan di tempat sewajarnya.

“Kami (BN) bukan mahu kuasa semata-mata untuk berkuasa, tapi mahu kuasa untuk mendahulukan rakyat. Jika rakyat memberi kepercayaan dan terus sokong BN, 10 tahun lagi negara ini akan jadi negara maju dan berpendapatan tinggi,” katanya semasa berucap pada Program Perdana Menteri Bersama Rakyat di padang awam Taman Sri Pinang, Tikam Batu di sini hari Khamis.

Katanya jika orang yang tidak berkemampuan dan hanya tahu menabur janji kosong dan palsu diletakkan sebagai pemimpin, maka negara akan ‘tertiarap’.

Menurutnya angin perubahan sedang bertiup kencang, menunjukkan rakyat di seluruh negara ingin mempertahan BN sebagai teras pemerintahan dan mereka ingin Putrajaya terus dikuasai parti itu.

Najib seterusnya mengingatkan serta menasihati kepimpinan Umno peringkat bahagian supaya sentiasa bersatu dan bersepakat dalam usaha bagi memperkuat pergerakan.

“Saya minta semua bersatu, kalau bergaduh kita tidak akan dapat balik kuasa (pentadbiran negeri) daripada pembangkang,” katanya.

Pada majlis itu lebih 10,000 masyarakat pelbagai kaum hadir untuk mendengar amanat Perdana Menteri.

Malam ini Perdana Menteri akan bersama masyarakat India dalam sambutan hari Thaipusam di Kuil Subramania Swami Devastanam, Jalan Sekerat di sini.

Terdahulu pada awal lawatannya ke Kedah hari ini, Najib mengadakan pertemuan dengan pimpinan BN dan Umno negeri Kedah.

Sumber : Bernama

Leave a Reply