Warning: Creating default object from empty value in /home/customer/www/najibrazak.com/public_html/wp-content/themes/salient/nectar/redux-framework/ReduxCore/inc/class.redux_filesystem.php on line 29
Perutusan Hari Ulang Tahun UMNO Ke-65 2011 YAB Perdana Menteri - Najib Razak
Official Addresses

Perutusan Hari Ulang Tahun UMNO Ke-65 2011 YAB Perdana Menteri

By Wednesday May 11th, 2011 No Comments

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh, salam sejahtera dan salam 1Malaysia

Syukur Alhamdulillah kita dapat menyambut hari ulangtahun kelahiran UMNO yang ke-65 pada hari ini. Kita bersyukur ke hadrat Allah SWT dan berterima kasih kepada rakyat Malaysia kerana di kala dan ketika kita menyambut tarikh keramat 11 Mei ini kita masih menjadi parti pemerintah yang mendapat kepercayaan dan diyakini orang-orang Melayu dan Bumiputera khasnya serta rakyat Malaysia amnya.

Kepercayaan dan keyakinan ini bukan wujud secara semula jadi tetapi dimenangi serta dipupuk hasil keikhlasan dan iltizam perjuangan generasi kepimpinan dan ahli UMNO silih berganti. Ia tidak mungkin berterusan tanpa kemampuan kepimpinan dan ahli-ahli UMNO untuk terus merasai denyut nadi rakyat serta mendokong aspirasi mereka.

Dalam usia 65 tahun UMNO telah menempuh pelbagai cabaran serta tribulasi. Pengalaman dan sejarah telah menjadikan UMNO parti politik yang kuat, realistik, matang serta berpijak di bumi nyata. Ia telah mencanai UMNO dengan keanjalan untuk berubah sesuai dengan tuntutan lanskap politik mutakhir, memastikan parti terus segar dan relevan.

Sesungguhnya badai yang telah melanda parti kita pada pilihanraya umum yang lalu bukanlah alasan untuk kita terus bersikap pesimistik. Kini bukan masanya untuk terus  mengeluh dan mengenang perkara lalu. Hakikatnya jika kita masih lagi tidak mengenal pasti apa kesilapan kita dan mengambil langkah-langkah pembetulan setelah lebih tiga tahun pilihanraya umum ke-12 berlalu maka kita sebenarnya hanya menempah masa depan yang kelam untuk parti dan rakyat. Kini adalah masa untuk bertindak dan bekerja bukannya masa untuk bernostalgia dan beremosi.

Justeru seluruh ahli parti perlu meningkatkan usaha untuk memantapkan persiapan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-13 yang pasti tiba. Bunyikan semboyan, pukullah gendang perang dan panaskan jentera. Jangan sesekali membiarkan fitnah, kepalsuan dan cubaan untuk memperdaya rakyat berjaya.

Ingatlah jasa-jasa lalu akan hanya tinggal dalam lipatan lembaran sejarah jika kita gagal dalam ujian yang besar ini. UMNO perlu terus gagah dan relevan untuk melakar jasa-jasa baru demi untuk agama, bangsa dan negara.

Sejak mula ditubuhkan sebelum merdeka lagi, UMNO telah membuktikan kemampuannya sebagai sebuah parti politik yang bukan sahaja mampu menyatukan orang Melayu tetapi juga untuk menerajui pemerintahan negara.

Sejarah telah membuktikan betapa besarnya peranan dan sumbangan UMNO. Kita tidak akan lupa jasa-jasa tokoh-tokoh seperti Dato’ Onn, Tunku Abdul Rahman Putra, Tun Abdul Razak, Tun Hussein Onn, Tun Dr. Mahathir, Tun Abdullah Ahmad Badawi serta lain-lain tokoh UMNO yang telah begitu banyak berjasa kepada parti dan negara.

Sementara kita semua menghargai jasa dan sumbangan para pejuang bangsa ini, pemimpin, ahli, dan penyokong UMNO perlu sedar bahawa segala jasa dan sumbangan UMNO terhadap agama, bangsa dan negara tidak menjamin kelangsungan sokongan rakyat kepada UMNO sebagai parti pemerintah di negara ini.

Untuk itu kita perlu meneruskan perjuangan pendahulu-pendahulu kita untuk menjadi juara rakyat. UMNO dan rakan-rakan komponen Barisan Nasional perlu memastikan agar hari ini untuk warga Malaysia adalah lebih baik dari hari semalam dan fajar menyinsing di hari esok akan menjanjikan sesuatu yang lebih baik untuk mereka dan anak-anak mereka.

Marilah kita bersama-sama rakan-rakan dalam Barisan Nasional untuk terus bekerja keras dan berusaha dengan gigih bagi mencipta masa depan Malaysia yang lebih makmur, marilah kita bersama-sama untuk meletakkan negara tercinta ini ditempatnya yang hak di persada antarabangsa.

Insya-Allah berkat kesungguhan dan iltizam padu kita UMNO akan terus berjaya.

DATO’ SRI MOHD NAJIB

Presiden UMNO

Leave a Reply