Blog

Jabatan Audit Negara telah meluluskan audit Tabung Haji

By Tuesday December 11th, 2018 No Comments

Seperti dijangka, cara untuk ‘selesaikan’ defisit RM4.1 bilion Tabung Haji (TH) yang didakwa oleh kerajaan PH telah berlaku kejam dengan terlebih bayar dividen untuk 4 tahun berturut-turut ialah dengan menjual aset.

Defisit ini tiba-tiba timbul apabila diaudit oleh firma PriceWaterhouse Coopers (PWC) yang baru dilantik. PWC juga ialah syarikat audit yang dilantik oleh Guan Eng untuk membuat audit khas ke atas 1MDB beberapa bulan sebelum ini.

Tetapi Jabatan Audit Negara telah meluluskan audit untuk TH untuk tahun-tahun ini dan tidak melaporkan adanya defisit.

(Oleh kerana firma Ernst & Young telah menafikan mereka bertanggungjawab diatas laporan audit muktamad TH dan hanya bertanggungjawab atas tugas-tugas lain untuk TH, saya keluarkan nama mereka dahulu)

Baru dilaporkan ialah TH akan menjual aset bernilai RM19.9 bilion pada nilai buku kepada sebuah syarikat tujuan khas (SPV) di bawah Kementerian Kewangan pimpinan Guan Eng.

Antara aset yang dijual kepada SPV di bawah Kementerian Kewangan pimpinan Guan Eng ini ialah hartanah yang mempunyai pulangan 2% setahun dan saham yang merosot 20% sejak dibeli oleh TH – bermakna kebanyakkan saham milik TH kerana Bursa Malaysia sudah turun dengan banyak selepas PRU14.

SPV ini akan membayar TH dengan menerbitkan sukuk 7 tahun bernilai RM10 bilion dan RM9.9 bilion dalam saham keutamaan boleh tebus Islam (RCPS-I).

TH akan pegang Sukuk dan RCPS-I yang bernilai RM19.9 bilion sehingga ditebus oleh SPV ini.

Sukuk ini hanya membayar dividen 5% setahun kepada TH manakala RCPS-I ini tidak ada dividen.

Ini bermakna TH hanya dibayar dividen 2.5% setahun oleh SPV ini untuk aset yang bernilai RM19.9 bilion ini.

SPV ini akan bertanggungjawab untuk memajukan ataupun menjual aset-aset ini.

Satu aset terbabit termasuk tanah TRX yang dibeli oleh TH dengan harga RM188.5 juta (RM2,773 sekaki persegi) pada tahun 2015.

Lanjutan dari pembelian TH itu, pembeli lain telah membayar RM3,500 sekaki persegi, malah ada yang membayar lebih dari RM4,000 sekaki persegi.

TH kata tanah TRX ini dijual kepada syarikat SPV ini kerana tidak memberi sebarang pulangan kepada mereka.

Tanah TRX milik TH ini ialah disebelah Menara Exchange 106 iaitu bangunan tertinggi di Asia Tenggara dan jiran kepada bangunan-bangunan ibupejabat kepada pelbagai syarikat kewangan antarabangsa dan pelbagai syarikat terbesar di dunia seperti HSBC, CCCC, Prudential dan sebagainya.

Tanah TH itu juga sudah tersedia khidmat stesen MRT yang sudah beroperasi dan berdekatan dengan projek lifestyle center milik syarikat hartanah gergasi Australia bernama Lend Lease. Ini dianggap tiada pulangan?

Oleh itu, saya sangat pelik mengapa Tabung Haji boleh kata pembelian tanah TRX ini tidak berbaloi dan perlu dijual kepada syarikat SPV milik Menteri Kewangan sedangkan nilai dan potensi tanah ini jauh berbeza berbanding hampir 4 tahun dahulu.

Persoalannya, jika aset-aset yang dijual kepada SPV ini naik harga semula jika Bursa Saham memulih, adakah TH akan menikmati keuntunggan ini ataupun masih dihadkan kepada dividen 2.5% setahun untuk 7 tahun?

Mengapa penyelesaian PH untuk segala isu ialah dengan menjual aset?

Leave a Reply