Blog

Himpunan Ummah 812

By Sunday December 9th, 2018 No Comments

Alhamdulillah,

Biarpun penat semalam saya amat bangga dengan kejayaan dan semangat kesatuan dan kesepakatan kita di Himpunan Ummah 812.

Tidak ada provokasi. Tidak ada sebarang insiden sehingga pihak berkuasa terpaksa mengambil tindakan.

Kerana kami bukan ‘supremacist’ ataupun “extremist” sebagaimana fitnah fitnah yang dilemparkan kepada kita.

Saya ada lihat foto-foto keadaan Dataran Merdeka selepas perhimpunan bersurai. Persekitaran tampak lebih bersih dari sebelum perhimpunan diadakan. Inilah sifat kita. Kita sayangkan negara kita ini. Sifat bersih memang sebati dengan kita.

Kerajaan PH beri anggaran jumlah peserta di perhimpunan hanya 55 ribu orang tetapi kita semua boleh menilai dari gambar-gambar dan video yang tersebar luas. Sudah tentu jumlah peserta berganda lebih banyak dari angka ini.

Perhimpunan 812 semalam mungkin perhimpunan yang terbesar, teraman dan terbersih di dalam sejarah Malaysia.

Kerajaan BN di bawah saya pernah dua kali membuat kajian pada tahun 2011 dan 2015 untuk mengkaji kesesuaian ICERD untuk negara kita. Mengapa nak kaji? Kalau tak kaji, bagaimana kita tahu dengan pasti sesuai atau tidak?

Hasil dari kajian-kajian itu, kerajaan BN berpendirian untuk tidak meneruskannya kerana ia bertentangan dengan perlembagaan negara dan kontrak sosial yang dicapai semasa pertubuhan negara.

Kedua-duanya ini adalah tiang asas kepada negara kita ini.

Selain dari hak-hak Bumiputera dan kedudukan Islam di Negara, ICERD juga memberi kesan kepada perjanjian MA63 dan hak-hak yang dipersetujui untuk mereka di Sabah dan Sarawak.

Ia juga ada impak yang menghalang program-program bersasar seperti Pelan Induk Masyarakat India dan KOJADI iaitu program pinjaman kepada SME-SME Cina.

Tanpa ICERD, Malaysia tetap pesat membangun, kepentingan setiap kaum tetap dijaga dan keharmonian negara tetap terjaga.

Satu contoh lagi, pada malam semalam selepas perhimpunan 812 di Kuala Lumpur ialah di Miri di mana seramai 40,000 penduduk Sarawak berbilang kaum berarak dengan aman di jalan raya untuk meraikan Hari Natal.

Oleh itu, kerajaan BN tidak pernah mengumum bahawa kita akan meraktifikasi ICERD. Sebaliknya, kita memberi keutamaan kepada ekonomi, pembangunan negara dan untuk mengurangkan jurang antara yang kaya dengan yang miskin dan antara pantai barat dengan pantai timur dan antara semenanjung dengan Sabah dan Sarawak.

Tanpa ICERD, kerajaan BN masih dapat menjaga kepentingan dan hak-hak semua kaum di negara kita ini.

Kita masih boleh memastikan keadilan dan keseimbangan dalam perkongsian kekayaan negara dan memastikan usaha itu bersifat inklusif untuk semua, kerana ia adalah satu amanah.

Saya tengok ramai yang hadir semalam bukan sahaja untuk isu ICERD tetapi untuk menyuarakan perasaan tidak puas hati mereka terhadap kerajaan untuk pelbagai isu seperti harga sawit yang rendah, ekonomi yang semakin menurun, PTPTN, subsidi dan bantuan yang telah dimansuhkan atau dikurangkan dan tabiat kerajaan PH yang sering membuat pusingan “U”.

Himpunan semalam telah menghantar isyarat kepada kerajaan PH bahawa kuasa tetap di tangan rakyat.

Syabas dan tahniah kepada pihak penganjur, NGO-NGO, parti PAS dan UMNO serta semua yang menghadir semalam.

Semoga Allah permudahkan dan melindungi kita.

Leave a Reply