Blog

Bersama BN, Hebatkan Negaraku!

By Saturday April 7th, 2018 No Comments

Alhamdulillah, hari ini di Axiata Arena Bukit Jalil, tercatat satu lagi peristiwa dalam sejarah negara, terlancarnya sebuah dokumen yang akan menjadi asas kepada perencanaan masa hadapan Malaysia di bawah kepimpinan Barisan Nasional.

5 tahun dulu, Barisan Nasional membawa tema “Menepati Harapan, Menunaikan Janji”, dan kita menepati setiap satu daripada harapan dan janji tersebut dengan pencapaian 99.4 peratus, angka yang amat boleh dibanggakan.

Kali ini, kita menawarkan bukan sahaja kesinambungan kepada segala apa yang kita telah capai sebagai sebuah negara, tetapi lebih daripada itu kita kini di persimpangan mencapai cita-cita malah menjadi lebih hebat dan berjaya lagi!

Manifesto ini direncanakan bukan untuk mengejar undi, bukan untuk menabur gula-gula, bukan harapan palsu, bukan juga janji populis. Sebaliknya, Barisan Nasional sentiasa mendahulukan rakyat dan meletakkan kepentingan negara sebagai asas utama.

Segala apa yang disenaraikan ini mampu dicapai, boleh dilaksanakan, dan akan memastikan negara terus membangun, lebih maju dan berjaya.

Setiap pelusuk tanah air, dari Perlis ke Johor, Sabah dan Sarawak, tiada mana-mana kawasan walau jauh di ceruk mana sekalipun akan ketinggalan.

Setiap lapisan masyarakat, tanpa mengira agama, kaum, kepercayaan, taraf pendidikan atau latar belakang, tiada sesiapa pun yang akan terlepas pandang.

Lebih 60 tahun lamanya Barisan Nasional telah membawa Malaysia maju, tapak demi tapak sehingga kita kini terkenal serata dunia sebagai negara Islam contoh, negara yang aman dan harmoni, lokasi tumpuan pelancong dan juga pelabur.

Kali ini, saya sebagai Pengerusi Barisan Nasional, mengajak anda semua untuk membaca dan meneliti Manifesto ini, setiap perkataan, ayat, kategori serta janji yang tercatat di dalamnya ditulis dengan penuh perasaan tekad, cinta dan komited untuk berkhidmat kepada rakyat dan berbakti untuk #Negaraku.

Maklumkanlah kepada keluarga dan sahabat handai mengenai segala apa yang tertulis di dalam Manifesto ini, mengenai segala apa yang mampu kita capai bersama sekiranya Barisan Nasional terus diberi kepercayaan membawa Malaysia ke hadapan.

Kerana sesungguhnya Bersama BN, kita mampu Hebatkan Negaraku!

Leave a Reply