Blog

Bangga Projek Petronas & Saudi Aramco akan mula beroperasi

By Friday September 14th, 2018 No Comments

Secara peribadi, saya amat gembira bahawa projek penapisan minyak dan gas serta petrokimia hasil usahasama Petronas dan Saudi Aramco RAPID di Pengerang, Kota Tinggi akan beroperasi tidak lama lagi.

Ia adalah pusat minyak dan gas serta petrokimia terbesar di Asia dan antara yang terbesar di dunia.

Laporan media semalam melaporkan bahawa kargo minyak pertama membawa bahan mentah untuk penapisan akan diterima pada akhir bulan ini. Ini bermakna loji sudah bersedia untuk beroperasi.

Apabila loji penapisan yang juga terbesar di negara ini dengan kapasiti penapisan 300,000 tong sehari memulakan operasi, ia bermakna negara tercinta kita ini buat pertama sekali dalam sejarah sudah mencapai tahap mampu diri atau ‘self-sufficiency’ bagi memenuhi keperluan petrol serta bahanapi lain.

Selain dari mewujudkan ratusan ribu pekerjaan, secara langsung dan tidak langsung, projek RAPID ini adalah keutamaan bagi saya kerana ia strategik bagi pembangunan industri petroliam dan petrokimia negara dan kita tidak lagi bergantung kepada negara lain bagi keperluan penapisan.

Sekian lama, kapasiti penapisan minyak Malaysia tidak mencukupi bagi memenuhi keperluan negara mengakibatkan kita terpaksa mengimpot petrol dan bahanapi dari Singapura.

Saya pernah bertanya, mengapa kita perlu mengimpot keperluan harian petrol dan diesel dari Singapura sedangkan repubik itu bukanlah pengeluar minyak seperti Malaysia. Pada pendapat saya, kita patut membina kemudahan ini bagi memenuhi keperluan negara.

Oleh itu, projek ini dilaksanakan. Biarpun kosnya bukan kecil tetapi ia juga akan menghasilkan lebihan bahanapi sudah dipais setiap tahun serta keluaran produk downstream yang lain dari projek ini yang boleh dieksport.

Hasil dari hubungan antara negara yang rapat pada masa itu, dengan kerjasama dan pelaburan sebanyak US$7 bilion (RM29 bilion) dari syarikat minyak nasional Arab Saudi iaitu Aramco, RAPID juga tidak perlu bimbang tentang keperluan minyak mentah mereka kerana ini juga terjamin melalui usahasama ini.

Saya cuma kesal bahawa projek saluran paip minyak dan gas yang sepatutmya menghubungkan projek RAPID di Pengerang sampai ke Alor Setar, dibatalkan.

Projek saluran paip ini sudah mula dibina oleh syarikat milik kerajaan China tetapi dibatalkan oleh kerajaan PH.

Projek saluran minyak dan gas ini yang dikenali sebagai projek MPP ataupun Multi-Purpose Pipeline membolehkan petrol, diesel dan bahanapi lain disalurkan ke seluruh pantai barat Semenanjung Malaysia dengan kos yang termurah tanpa memerlukan beratus lori tangki petrol berada di jalanraya.

Kelemahan ini perlu di atasi oleh kerajaan PH pada masa depan.

Leave a Reply