News_archive

Blueprint Pelancongan Langkawi Perlukan Sokongan Penduduk Tempatan: Najib

By Thursday December 8th, 2011 No Comments

LANGKAWI, 8 Dis (Bernama) — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata sokongan daripada rakyat Langkawi secara menyeluruh amat diperlukan bagi menjayakan inisiatif yang terkandung dalam Blueprint Pelancongan Langkawi yang beliau lancarkan Khamis.

Perdana Menteri berkata tanpa sokongan penuh rakyat, hasrat untuk melihat Langkawi bergerak ke arah yang lebih baik mungkin tidak akan kesampaian.

“Pelan ini akan membawa perubahan yang besar kepada rakyat Langkawi. Ia akan bawa lonjakan kepada masa depan Langkawi,” katanya dalam ucapan ringkas pada majlis perasmian tapak projek Kilim dan Pusat Discovery Geopark di jeti Kilim di sini hari ini.

Beliau berkata inisiatif-inisiatif yang terkandung dalam pelan terperinci itu bukanlah hanya sebutan berbaur politik, sebaliknya ia adalah janji kerajaan kepada rakyat Langkawi.

Katanya janji itu diterjemahkan dalam bentuk perancangan teliti dan sistematik yang disokong peruntukan sebanyak RM420 juta yang diumumkan dalam belanjawan 2012 yang beliau bentangkan Oktober lepas.

Najib berkata apabila transformasi yang bakal dilakukan itu berjaya, ia bukan sahaja akan menjadikan Langkawi lebih maju, malah seluruh penduduk akan mendapat manfaat daripadanya.

Pengurus Perancangan dan Pembangunan Lembaga Pembangunan Langkawi (Lada), Dr Noor Yazan Zainol berkata projek Kilim dan Pusat Discovery Geopark merupakan sebahagian daripada inisiatif yang terkandung dalam Blueprint Pelancongan Langkawi itu.

Projek membabitkan kawasan seluas 3.84 hektar itu menumpukan kepada empat projek utama iaitu menaik taraf kemudahan di jeti Kilim dan kemudahan di kawasan paya bakau, pengalihan kemudahan nelayan di jeti dan Discovery Centre.

Noor Yazan berkata Discovery Centre akan berfungsi sebagai arkib serta pusat rujukan mengenai geopark di negara ini khususnya di Langkawi.

“Pengisian pusat ini akan diterapkan dengan segmen geologi, flora dan fauna, sosio budaya dan antarabangsa,” katanya.

Projek yang akan bermula Februari tahun depan itu bernilai lebih RM20 juta dan dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

Sumber : Bernama

Leave a Reply