Bismillahirrahmanirrahim, Assalamualaikum Warahmatullahi…

By Friday January 2nd, 2015 No Comments

Bismillahirrahmanirrahim,

Assalamualaikum Warahmatullahi Wabarakatuh,

Salam Sejahtera dan Salam 1Malaysia,

1. Alhamdulillah, segala pujian dan setinggi kesyukuran hanya kepada Allah SWT, kerana sekali lagi kita dipertemukan dengan tarikh 12 Rabiul Awal 1436 Hijriyah bagi memperingati keputeraan Rasulullah SAW. Selawat serta salam ke atas penghulu sekalian nabi dan rasul, juga kepada ahli keluarga dan sahabat baginda sekalian.

2. Allah SWT berfirman di dalam Surah al-Hajj ayat 32 yang bermaksud:

“Demikianlah (ajaran Allah); dan sesiapa yang memuliakan Syiar-syiar Allah, sesungguhnya ia adalah suatu manifestasi daripada hati-hati yang bertaqwa kepada Allah.”

3. Secara jelas Al Quran telah mendidik kita agar sentiasa meninggikan Syiar Islam antaranya dengan memuliakan Rasulullah SAW melalui ucapan selawat dan menghidupkan sunnah-sunnah Baginda. Ia sebagai sebahagian indikator ketaqwaan insan Mukmin kepada Allah SWT. Oleh itu, perjuangan memperteguhkan Iman dan syariat Islam yang dibawa Baginda perlu menjadi agenda utama dalam kehidupan seharian kita untuk mencapai keberhasilan taqwa.

4. Sehubungan itu, bagi membuktikan komitmen Malaysia dalam soal melaksanakan dasar-dasar yang berlandaskan prinsip Islam sebenar, maka Indeks Syariah dibangunkan bagi mengukur tahap keseriusan usaha Kerajaan dalam mengimarahkan prinsip, nilai dan sistem Islam merentasi pelbagai sektor.

5. Inisiatif ini diharap menjadikan tadbir urus Kerajaan lebih menghampiri amalan dan sunnah Rasulullah SAW dalam usaha kita untuk mengisi tuntutan bagi menghidupkan syariat Islam itu sendiri. Natijahnya akan lahirlah negara dan masyarakatnya yang seimbang serta cemerlang dalam aspek kemajuan, penguasaan pengetahuan dan kemahiran yang pada masa sama berakhlak mulia dan berjati diri unggul sebagai warga negara Malaysia.

6. Bertemakan “Perpaduan Nadi Transformasi Negara”, saya menyeru agar kita sentiasa menyuburkan semangat perpaduan sesama kita sebagai rakyat Malaysia. Mari kita tonjolkan persamaan antara kita dan meraikan kepelbagaian yang ada. Bersamalah kita membina negara ini dengan sikap berlapang dada atas nama perpaduan, mengambil yang jernih dan meninggalkan segala kekeruhan.

7. Sesuai dengan tujuan Rasulullah SAW diutus sebagai pembawa risalah yang penuh rahmat dan kesejahteraan untuk sekian makhluk, diharapkan usaha aplikasi Islam dalam pentadbiran negara ini dapat membangunkan Malaysia yang lebih makmur dan diberkati. Semoga sambutan Maulidur Rasul SAW kali ini terus membangkitkan keghairahan dan mengupayakan kita untuk mencontohi akhlak serta mengamalkan sunnah Baginda, agar berjaya di dunia dan di akhirat. Pada kesempatan ini juga, saya mengajak kita semua menghiasi diri dengan sifat sabar dan redha, dalam menghadapi ujian banjir yang agak luarbiasa ini. Mudah-mudahan segala usaha yang dilakukan kerajaan sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban musibah banjir, dan pada masa yang sama kita terus bersolat hajat dan berdoa agar negara kita sentiasa di bawah kerahmatan Allah SWT.

Sekian, Wassalam.



Original post: https://www.facebook.com/157851205951/posts/10152497354125952/

Leave a Reply